PETALING JAYA: Pemilihan Destinasi Impian sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) 2015 kerana ia memenuhi keperluan semasa di mana perwatakan lelaki lembut adalah sebahagian realiti kehidupan masyarakat dalam dan luar negara. Timbalan Dekan (Akademik dan Pelajar) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Arba'ie Sujud berkata, penilaian dari segi tema atau isu yang diketengahkan tentu sudah diteliti sebelum keputusan dibuat. Bagaimanapun, katanya, secara asas, novel Komsas perlu membantu pelajar dari segi penggunaan bahasa, selain karya sastera yang mempunyai nilai-nilai murni yang mampu menggalakkan percambahan ilmu. "Saya percaya Destinasi Impian dipilih berkemungkinan besar kerana situasi yang wujud pada masa sekarang di mana kisah lelaki lembut turut ditonjolkan dalam drama-drama di televisyen. "Saya kira semua perkara ini telah pun dipertimbangkan oleh jawatankuasa yang melihatnya, kerana sifat-sifat ini wujud dan ada dalam kehidupan masyarakat," katanya kepada mStar Online. Beliau mengulas watak dan tema lelaki lembut yang diketengahkan dalam teks Komsas yang akan digunakan pelajar Tingkatan Satu pada 2015. Karya Mohd Ismail Sarbini, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) versi yang telah disunting ini bakal digunakan di sekolah-sekolah di Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Bagaimanapun, bagi Arba'ie yang pernah menjadi ahli jawatankuasa pemilihan buku teks Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pendidikan percaya seseorang itu akan melihat unsur negatif dalam karya sastera jika elemen itu yang dicari pembaca. "Walaupun sastera itu sifatnya indah, namun ia tidak dapat lari daripada realiti kehidupan. "Kalau nak lihat dari sudut keburukannya, apa sahaja karya yang terpapar kalau nak cari buruknya pasti ada, tapi kita harus melihat dari sudut kebaikan," katanya. Berdasarkan pengalamannya, penilaian kandungan dan keperluan novel dilakukan oleh panel yang terdiri daripada guru cemerlang, pensyarah maktab, pensyarah universiti, ahli akademik dan golongan profesional. "Sebab itulah ia perlu dilihat dari banyak aspek, kelompok-kelompok yang nak pilih buku ini pelbagai, berperingkat, bukan seorang sahaja," katanya. Destinasi Impian mengisahkan tentang Firdaus, seorang pelajar yang sering diejek dan dipandang rendah kemampuannya sebagai seorang lelaki kerana berperwatakan lembut. Firdaus sering dicabar oleh rakan-rakan dan ahli keluarganya sendiri untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan karektor dan identitinya dalam usaha menjadikan dirinya mempunyai ciri-ciri seorang lelaki sejati.