suria

Sekretariat Prihatin OKU Nafi Penjaja Tisu Buta Didalangi Sindiket

PETALING JAYA: Sekretariat Prihatin Orang Kelainan Upaya (OKU) menafikan dakwaan segelintir golongan cacat penglihatan yang menjalankan aktiviti menjual tisu didalangi sindiket selain melibatkan warga asing sebagai pengiring kepada mereka.

Pengerusinya, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, penafian itu dibuat berdasarkan pembabitan beliau secara peribadi dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) OKU dan OKU penglihatan sejak 2000 termasuk sekretariat yang dinaunginya pada 2012.

Beliau menjelaskan bahawa dakwaan itu hanya menimbulkan pandangan negatif mengenai keadaan sebenar yang terpaksa dihadapi oleh golongan OKU tersebut.

“Apa yang kami maklum secara langsung dan tidak langsung bahawa tidak wujud tentang sindiket-sindiket yang mempergunakan OKU penglihatan.

“Saya merujuk kepada OKU penglihatan yang menjadi penjaja bebas yang menjual tisu dan bukannya pengemis yang mungkin didalangi sindiket. Kita tidak masuk campur tentang isu pengemis,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Sebelum ini, mStar Online mendedahkan tentang hasil lumayan yang diperoleh penjual tisu OKU penglihatan dengan pendapatan bersih lebih RM2,500 sebulan selain mampu mengupah pengiring dan pemandu khas untuk melakukan 'pekerjaan' itu.

Dilaporkan, segelintir OKU yang menjalankan aktiviti itu turut dipercayai didalangi warga asing dengan status meragukan yang berperanan sebagai pengiring.

Mohammad Faizal berkata, pihak yang membuat dakwaan tersebut mungkin tidak memahami secara jelas mengenai realiti kehidupan OKU penglihatan malah tidak berusaha untuk mendekati golongan itu.

Beliau menambah, adalah lebih baik sekiranya mencari jalan penyelesaian dalam menangani cabaran yang dihadapi OKU penglihatan yang menjadi penjaja bebas.

“Dakwaan tentang sindiket ini sudah lama kita dengar sejak dahulu. Kalau betul memang ada (sindiket), mereka yang dakwa perlu ada sikap bertanggungjawab dalam memikirkan bagaimana untuk mengatasi perkara tersebut,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui majoriti OKU penglihatan melakukan aktiviti menjual tisu kerana tiada pilihan pada masa ini untuk menyara kehidupan mereka.

Ini kerana katanya, kuota satu peratus tenaga kerja OKU dalam sektor awam masih belum mencapai sasaran, bilangan syarikat swasta yang mengambil OKU sebagai pekerja amat terhad dan peluang perniagaan bagi golongan cacat penglihatan tidak semudah jika dibandingkan OKU lain berikutan faktor kekurangan yang berbeza.

“Penjual tisu pula hanya memberi konotasi negatif kepada masyarakat. Maka kita ‘menjenamakan semula’ golongan ini dengan menggelar mereka sebagai penjaja bebas bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti itu.

"Secara umum, mereka yang menjual tisu ini sebenarnya tidaklah meraih pendapatan lumayan dan bukannya mudah untuk membuat kerja-kerja itu,” kata Mohammad Faizal.

Sekretariat Prihatan OKU Malaysia ditubuhkan pada 2012 yang bertujuan untuk menyuarakan isu-isu berkaitan dengan OKU di negara ini dan menambah baik polisi, peraturan dan undang-undang sedia ada mengenai golongan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain