suria

Penduduk Tergamam Rumah Dihanyut Arus Deras

KOTA BAHARU: Tiada apa yang dapat dilakukan pemiliknya apabila melihat empat buah rumah dan sebuah restoran mereka di Kampung Kundur di sini dihanyutkan arus banjir ke arah Sungai Galas petang Selasa.

Seorang penghuni Zakaria Daud, 56, berkata ketika itu dia berpindah ke atas sebuah bukit yang terletak kira-kira 500 meter di seberang jalan dari rumahnya.

"Saya bersama yang lain menyelamatkan diri ke atas bukit apabila air di kawasan kami semakin naik sehingga mencecah paras dada," katanya yang juga pemilik restoran itu.

Beliau berkata sebuah tangki minyak yang hanyut dari kawasan pembalakan berdekatan turut melanggar rumahnya serta tiga lagi rumah termasuk restorannya menyebabkan kesemuanya hanyut.

"Semuanya berlaku begitu pantas. Kami hanya mampu melihat dari jauh sehinggalah semuanya hanyut ke sungai," katanya.

Keempat-empat keluarga terlibat kini menumpang di rumah saudara mara mereka dengan Zakaria sendiri berserta isteri, anak dan emaknya yang berusia 70 tahun menumpang di rumah kawannya di Kampung Tanah Putih.

Enam lagi rumah di kawasan berkenaan rosak teruk dalam kejadian sama.


Banjir, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain