suria

Dua Pekerja Dipercayai Terperangkap Di Bawah Runtuhan Konkrit di Tapak LRT Putra Heights

PETALING JAYA: Dua pekerja dikhuatiri terperangkap apabila konkrit cair bagi pembinaan lantai terminal LRT di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, Selangor, runtuh pada Rabu. 

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata menurut laporan awal, keluasan kawasan terlibat dianggarkan sembilan meter persegi.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan dan kita belum mengetahui keadaan sebenar mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Sani berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.30 petang mengenai insiden itu.

Beliau berkata lebih 20 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Shah Alam dan Puchong terlibat dalam operasi berkenaan.


Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataannya berkata empat pekerja lain cedera dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4.20 petang itu ketika kerja meratakan konkrit dilakukan di bahagian binaan setinggi lapan meter.

Mereka yang cedera segera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital berdekatan, kata kenyataan itu.

Katanya usaha sedang giat dilakukan Pasukan Respons Kecemasan, Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyelamatkan dua pekerja Bangladesh dan seorang pekerja Indonesia yang terperangkap itu.

Pengarah Kumpulan Bahagian Pembangunan Projek Prasarana Datuk Zohari Sulaiman, yang berada di tempat kejadian, menyuarakan kekesalan tentang perkara yang berlaku, manakala punca kemalangan sedang disiasat memandangkan perancah berkenaan direka bentuk seorang jurutera profesional dan disahkan selamat oleh pemeriksa perancah.

Sementara itu, Mass Rapid Transit (MRT) Corporation dalam kenyataannya menafikan kejadian itu mempunyai kaitan dengan Projek MRT Lembah Klang seperti yang dilaporkan media sosial.
 
"KVMRT tidak melalui Subang Jaya. Harapan dan doa kami mengiringi mangsa kejadian, yang dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan konkrit," kata kenyataan itu.


Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan