KOTA BARU: Kerajaan akan memastikan segala keperluan mangsa banjir khususnya makanan diutamakan dengan segala permasalahan diatasi segera. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar berkata, peruntukan segera sebanyak RM50 juta yang disalurkan di semua negeri yang terjejas banjir, diharap dapat menyelesaikan masalah berkenaan. "Dengan peruntukan itu, ia juga akan memudahkan urusan membeli barang keperluan termasuk aset-aset yang perlu kerana keadaan banjir sekarang memerlukan tindakan segera. "Kementerian Kewangan akan memudahkan lagi cara pihak terbabit mendapatkan bekalan dan aset tanpa prosedur yang biasa. Ini semua bagi mempercepatkan penyaluran keperluan kepada mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Mohd Irwan berkata, penduduk juga diingatkan agar tidak membuat pembelian panik sehingga ada yang mendakwa bekalan keperluan seperti di kawasan yang terjejas banjir, sukar diperoleh. "Penduduk jangan bimbang tentang barangan keperluan kerana kita akan menjamin ia mencukupi. Semua pasar raya besar diminta agar meningkatkan lagi keperluan barangan makanan ini untuk mengelak dakwaan berlakunya kekurangan," katanya. Beliau juga berkata kerajaan juga akan mendapatkan bot-bot dari negara jiran bagi memastikan segala urusan menyelamat atau menyalurkan bekalan dapat dilakukan dengan baik. Katanya, ketika ini terdapat sesetengah tempat yang tidak boleh dilalui melalui jalan darat dan kerajaan akan menggunakan bot dan helikopter bagi tujuan itu. Sementara itu beliau berkata kakitangan agensi penyelamat yang kini berjumlah lebih 3,000 akan ditambah mengikut keperluan. Beliau berkata, keadaan banjir di pantai timur kali ini membimbangkan dan berharap penduduk tidak menjadikannya sebagai pesta bagi mengelak kejadian buruk berlaku.