LUNDU (Sarawak): Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menawarkan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada negeri di Semenanjung yang sedang dilanda banjir. "Kami sedia membantu jika diperlukan... bila-bila masa, tambahan pula kita semua rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Hari Krismas 2014 daerah Lundu, pada Khamis. Ditanya sama ada Sarawak sudah menerima permohonan untuk menghulurkan bantuan kepada negeri yang dilanda banjir, Adenan berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang bentuk permohonan tersebut. "Setakat yang saya tahu, belum ada (permohonan) tetapi jika dikehendaki, kami akan sentiasa membantu," katanya. Dalam pada itu, Adenan berkata Sarawak juga sudah bersiap sedia menghadap ikemungkinan berlakunya banjir di negeri berkenaan. Beliau berkata Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang sudah menyediakan pelan lengkap untuk menghadapi bencana itu.