PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) bersedia untuk duduk semeja dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mencari kaedah terbaik dalam menyelesaikan kemelut kadar tambang bas sekolah yang baharu. Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata, pihaknya kini sedang menunggu pelawaan daripada SPAD untuk menyelesaikan masalah itu. "Kami sedia untuk diajak berbincang. Buat masa sekarang kami hanya menunggu pelawaan daripada SPAD," katanya kepada mStar Online. Jelas Amali Munif lagi, perbincangan tersebut perlu dilakukan dengan segera kerana jalan penyelesaian terbaik perlu dicapai bagi memuaskan hati semua pihak. "Sesi persekolahan pun akan dibuka tidak lama lagi, jadi perbincangan ini amat penting. Jika tiada apa-apa dilakukan, keadaan akan menjadi lebih teruk lagi nanti," katanya. Beliau berkata, sekiranya tiada kata putus dicapai mengenai kemelut ini, ibu bapa bakal menjadi mangsa kenaikkan tambang. "Mana-mana ibu bapa pasti akan merungut mengenai tambang bas yang mahal. Jika tiada kadar tambang asas, kami (pengusaha bas) akan tetap menaikkan tambang dengan struktur tambang bas masing-masing ditentukan secara individu dan bebas," katanya. Malah, Amali Munif tetap menegaskan SPAD perlu menetapkan kadar tambang asas sebagai panduan kepada pengusaha bas dalam mengenakan tambang yang munasabah. "Kadar tambang asas itu yang penting. Jika ia diumumkan, sekurang-kurangnya kami ada garis panduan dalam menetapkan kadar tambang yang sesuai," katanya. Pada Oktober lalu, SPAD mengumumkan kadar tambang bas sekolah yang fleksibel akan ditentukan bergantung kepada rundingan antara pengusaha bas dan ibu bapa. Bagaimanapun, sehingga hari ini, keputusan tersebut mendapat bantahan daripada beberapa pengusaha bas yang menyifatkan ia sebagai sesuatu yang mustahil dan sukar untuk dilaksanakan kerana tiada garis panduan disediakan dalam penetapan harga baharu berkenaan. Terdahulu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan turut mendesak kedua-dua pihak bertanggungjawab itu supaya menyelesaikan kemelut tersebut dengan kadar segera. "SPAD dan PPBSM wajib duduk berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik untuk menamatkan isu ini dengan segera," katanya kepada mStar Online. Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian hanya akan memberi implikasi besar kepada ibu bapa yang pastinya terbeban dengan kenaikan tambang bas tersebut.