suria

Najib Akan Tinjau Banjir Di Kelantan Pada Sabtu

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melawat Kelantan esok untuk meninjau keadaan banjir di negeri itu dan juga memantau usaha membantu mereka yang terjejas akibat banjir di empat negeri lain.

Setibanya, Najib akan mempengerusikan mesyuarat dan mendengar taklimat daripada Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara, kerajaan negeri dan pasukan penyelamat setempat.

Najib berkata beliau amat bimbang dengan banjir, dan bersimpati dengan mereka yang kehilangan rumah, dan keluarga yang kehilangan orang tersayang.

"Ketika berada di luar negara, saya sentiasa berhubung dengan Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara yang memberi jaminan kepada saya bahawa mereka sedang melakukan apa yang termampu untuk membantu mereka yang terjejas.

"Tetapi saya mahu melihat sendiri keadaan dan bersama-sama rakyat," kata Najib, menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.

Sementara itu, kenyataan itu memetik seorang jurucakap kerajaan sebagai berkata bahawa Perdana Menteri mengambil keputusan untuk kembali dari Amerika Syarikat untuk memantau usaha bantuan kecemasan dan akan mendarat di Kelantan pada Sabtu.

Jurucakap itu berkata semasa berada di luar negara, Perdana Menteri menerima maklumat terkini setiap hari tentang keadaan banjir di Malaysia. 

Najib juga telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara supaya meningkatkan usaha membantu mereka yang terjejas akibat banjir, menurut jurucakap itu.

"Berikutan laporan baru-baru ini bahawa keadaan terus bertambah buruk, Perdana Menteri berpendapat bahawa adalah perlu untuk pulang bagi memantau sendiri usaha penyaluran bantuan," kata jurucakap itu.

Semasa melawat Kelantan esok, Perdana Menteri juga akan menemui penduduk yang terjejas banjir dan membincangkan langkah-langkah baharu untuk membantu mereka yang terpaksa berpindah, kata kenyataan itu. -BERNAMA

Najib Tun Razak, tinjau banjir

Artikel Lain