KOTA BARU: Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan akan menumpukan kepada empat kawasan paling terjejas akibat banjir di negeri itu yang mengalami masalah kritikal bekalan makanan dan perubatan. Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata empat kawasan itu adalah Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah yang kini juga terputus hubungan darat. "Yang paling teruk adalah empat kawasan itu yang dilaporkan terdapat masalah kritikal bekalan makanan, minuman dan akses kesihatan. "Jawatankuasa ini akan berusaha menyegerakan penghantaran bekalan makanan dan perubatan dengan apa cara sekali pun," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini Sabtu. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu turut melawat negeri ini untuk melihat sendiri bencana yang telah menjejaskan puluhan ribu penduduk di sembilan jajahan. Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata walaupun Kuala Krai dan Kota Baharu turut mengalami musibah yang serius, namun keadaan adalah terkawal dengan segala keperluan dapat disalurkan dengan baik kepada mangsa. Beliau menegaskan secara umumnya fenomena banjir di Kelantan masih lagi mencabar dan isu utama yang perlu diberi perhatian jawatankuasa itu adalah berkaitan makanan, minuman dan perubatan. "Kita akan menggemblengkan segala aset yang kita ada untuk ke tempat yang terputus bekalan makanan dan perubatan dan ini tumpuan utama kami," katanya. Mustapa juga turut menasihatkan penduduk yang tidak terjejas banjir supaya tidak panik kerana bekalan makanan serta minyak petrol masih mencukupi. Selain itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan khabar angin yang disebarkan melalui laman sosial yang boleh menjurus kepada suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat. Beliau turut mengalu-alukan sumbangan dan bantuan mana-mana pihak bagi membantu mangsa banjir terutama di kawasan terjejas teruk sambil memberitahu ia tidak perlu melalui jawatankuasa itu.