suria

Nafas Komited Modenkan Pertanian Di Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah komited untuk menyumbang idea bagi membangunkan masyarakat peladang terutama mengharungi persaingan global pada masa depan.

Mohd Nazri yang juga anggota Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berkata antara pendekatan yang boleh dilakukan adalah dengan memodenkan sektor pertanian sejajar dengan program transformasi kerajaan, sekali gus ia tidak lagi dianggap sebagai kerjaya bertaraf rendah.

"Sebagai contoh, di Sabah yang mempunyai banyak sumber tanah dan kawasan semulajadi untuk dibangunkan dan pihak Nafas akan turun padang bagi membantu dan membimbing peladang untuk berjaya dalam sektor ini," katanya.

Mohd Nazri mengulas demikian sempena memenangi jawatan anggota jemaah Pengarah Nafas sempena mesyuarat agung tahunan ke-41 di Hotel Istana, di Kuala Lumpur pada Isnin lepas.

Mengenai pembangunan Nafas, Mohd Nazri berkata beliau akan bersama-sama kepemimpinan pertubuhan terutama Pengerusinya Datuk Seri Saipolbahari Suib bagi menjadikannya institusi yang mampu membawa dimensi baharu dalam sektor pertanian.

Katanya, perancangan strategik perlu dititikberatkan termasuk mengenal pasti projek yang dapat dilaksana dan menguntungkan terutama berkaitan industri asas tani selain meningkatkan Dana Peladang.

Mohd Nazri berkata Nafas yang kini dianggotai lebih 850,000 anggota dari seluruh negara mempunyai keupayaan pengeluaran dan pemasaran produk pertanian.

Beliau berkata Nafas juga perlu memainkan peranan dalam mengurangkan import produk makanan iaitu Malaysia kini mengimport 30 peratus padi, 70 peratus daging lembu, 85 peratus daging kambing dan sayur-sayuran untuk menampung keperluan sumber makanan negara.

Katanya pihaknya juga akan berusaha untuk menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang pertanian terutama dari segi bantuan dan nasihat serta kemahiran kepada mereka.

Beliau berkata golongan muda perlu membabitkan diri secara aktif dalam sektor itu kerana mereka merupakan kumpulan pelapis untuk mengusahakan sektor pertanian di masa depan.

Dalam pada itu, katanya, kunci kekuatan sesebuah organisasi seperti Nafas adalah perpaduan dan semangat saling bekerjasama dalam kalangan anggotanya.

"Justeru, kita berharap semua ahli bersatu dan bersama-sama mengembleng usaha dalam mendokong misi Nafas kerana kita perlu memandang jauh ke hadapan dan bersedia menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan.

Dalam konteks ini, katanya, golongan petani, peladang, penternak dan nelayan perlu berfikiran global selain menerapkan unsur-unsur inovasi dan pemodenan dalam pertanian sejajar perkembangan arus teknologi masa kini.

Nafas, Sabah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain