suria

Cuaca Buruk Di Laut Jawa Tapi Masih Boleh Dikawal - Pakar Penerbangan

Rohana, ibu kepada anak kapal pesawat QZ8501, Khairunisa menunjukkan gambar anaknya itu bersama keluarga.
PETALING JAYA: Keadaan cuaca di sekitar Laut Jawa pada hujung tahun disifatkan agak buruk tetapi masih boleh dikawal, kata pakar penerbangan.

Juruterbang bersara, Datuk Jalil Mat Dom berkata, ribut petir di wilayah itu boleh jadi terlalu ganas dan juruterbang boleh meminta pertukaran dalam rancangan penerbangan mereka.

"Pada waktu begini, cuaca boleh jadi agak buruk di sana. Saya tidak pasti bagaimana kelajuan ribut tersebut tetapi ia boleh menjejaskan pesawat yang menyebabkan juruterbang memohon untuk menyimpangkan sedikit laluan," katanya.

Jalil juga berkata, juruterbang pesawat tersebut sebelum berlepas dari lapangan terbang sudah menyedari keadaan cuaca kerana mereka telah diberi taklimat oleh Jabatan Meteorologi di kawasan tersebut.

Juruterbang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 telah memohon kepada menara kawalan trafik udara (ATC) Indonesia untuk membelok kekiri dari laluan asalnya bagi mengelak awan dalam cuaca buruk sebelum ia terputus hubungan kira-kira pukul 7.12 pagi Ahad.

Pesawat tersebut bagaimanapun terputus hubungan kira-kira pukul 7.24 pagi Ahad.

Pesawat tersebut yang berlepas dari Surabaya pada pukul 6.35 pagi dijadualkan mendarat di Singapura pada pukul 8.30 pagi hari yang sama.

Jurucakap Jabatan Meteorologi ketika dihubungi mengesahkan kawasan Laut Jawa mengalami hujan dan ribut petir sejak pukul 6 pagi.

"Keadaan cuaca tidak berubah sehingga tengah hari apabila ia mulai lemah," kata jurucakap itu.

Seorang lagi pakar kanan dari Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT), Ahmad Maulan Bardai berkata sistem komunikasi seperti dalam pesawat A320-200 direka khas untuk beroperasi dalam keadaan cuaca buruk.

"Namun, keadaan cuaca mungkin mengatasi ciri-ciri reka bentuk tertentu," katanya yang enggan mengulas lebih lanjut.

Beliau berkata, terdapat faktor lain yang perlu diambil kira dalam kes pesawat QZ8501 selain cuaca buruk.
Laut Jawa, AirAsia, QZ8501

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain