Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata anggota sukarelawan berkenaan akan memberi tumpuan bagi menyalurkan bantuan pakaian dan makanan serta apa sahaja bentuk sokongan kepada mangsa terbabit.
"Untuk Kelantan memang ada kita sudah bantu, sukarelawan daripada Puteri Umno bukan sahaja membantu membersihkan malah membantu di pusat pengurusan banjir.
"Sukarelawan ini dari pelbagai sektor seperti doktor yang ada latar belakang perubatan, psikologi, kerana mereka (mangsa banjir) ini dalam keadaan trauma dan ambil masa untuk dipulihkan semangat mereka," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Mas Ermieyati berkata pihaknya turut mengalukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang agar tampil ke Pusat Gerakan Puteri Umno yang beroperasi 24 jam di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Bantuan yang diutamakan seperti lampin pakai buang dan susu bayi, pakaian dan keperluan asas untuk wanita dan peralatan sembahyang, katanya.
Beliau berkata sesiapa yang ingin menjadi sukarelawan pergerakan itu boleh menghubungi pejabat Puteri Umno berhampiran.