suria

Jalan Kuantan-Pekan Ditutup Kepada Semua Kenderaan

Penunggang motosikal menolak kenderaannya yang rosak ketika meredah air berarus deras yang melimpahi jalan Kuantan-Pekan di kilometer 25 sejauh 500 meter semasa tinjauan fotoBERNAMA di Kuantan, Khamis.

KUANTAN: Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Ubai ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air sedalam 400 milimeter sepanjang 500 meter.

Menurut laman Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, hakisan juga berlaku antara persimpangan lampu isyarat Lamir dan Petronas Ubai.

Kerja-kerja pembaikan sementara telah dijalankan oleh JKR Pekan tetapi keadaan hakisan bertambah kritikal disebabkan paras air semakin meningkat dan arus deras, menurut laman sosial itu.

Berikutan itu, jalan utama antara Pekan ke Kuantan perlu ditutup untuk lalu lintas bagi tujuan keselamatan pengguna dan kerja pembaikan sepenuhnya akan dilaksanakan setelah keadaan air di kawasan tersebut surut.

Pengguna jalan raya yang ingin ke Kuantan atau Pekan perlu menggunakan laluan di Leban Chondong-Muadzam-Gambang.

Menurut laman sosial itu, jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Paya Pulai serta jalan Temerloh-Jerantut telah dibuka kepada semua kenderaan.

Bagaimanapun jalan Kuantan-Kuala Lumpur masih ditutup di Sungai Jempol dan Pekan Tajau.

Sementara itu, menurut kenyataan pengendali rangkaian Lebuhraya Pantai Timur (LPT), jalan dari Plaza Tol Karak ke Temerloh akan dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula 8 pagi Sabtu.

Namun, jalan dari Plaza Tol Temerloh ke Plaza Tol Chenor masih ditutup kepada semua kenderaan sehingga paras air di Kilometer 126 surut sehingga tahap selesa.

Artikel Lain