suria

Ombak Besar Landa Pantai Labuan

LABUAN: Ombak besar membadai pantai Labuan pada Khamis malam dan menimbulkan suasana cemas dalam kalangan penduduk, nelayan serta pengusaha pengangkutan laut.

Beberapa nelayan tempatan dan tekong bot dilaporkan tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain berikutan keadaan laut yang bergelora teruk.

"Saya belum pernah melihat ombak sebesar ini," kata Rahim Yussof, 45, yang bertugas dengan sebuah syarikat minyak dan gas pada Jumaat.

Beliau merujuk kepada ombak setinggi dua dan empat meter yang membadai struktur jeti berhampiran Pelabuhan Labuan.

"Ombak begitu tinggi, manakala angin pula sungguh kencang hingga menimbulkan suasana ngeri dan menakutkan," katanya.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menasihati pengendali bot, nelayan dan pemancing supaya berhati-hati dan menghubungi Jabatan Perkhidmatan Meteorologi bagi mendapatkan maklumat tentang cuaca dan keadaan laut.

Jabatan itu hari ini meramalkan angin kencang dan laut bergelora di perairan Pahang, timur Johor, Sarawak, Sabah (Pedalaman, daerah Pantai Barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutuan Labuan hingga Ahad.

Dalam kenyataannya, jabatan itu berkata angin Kategori Dua selaju 50 hingga 60km sejam dan ombak hingga setinggi 4.5 meter di kawasan berkenaan adalah berbahaya kepada semua kegiatan perkapalan, termasuk perkhidmatan feri dan menangkap ikan, serta aktiviti di pesisiran pantai.


Labuan, Ombak

Artikel Lain