Menurut pihak berkuasa penyiasatan keselamatan, Bureau d'Enquêtes et d'Analyses (BEA), pasukan tersebut akan tiba awal pagi Jumaat.
Pesawat QZ8501 terhempas di Laut Jawa pada Ahad ketika dalam perjalanan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura.
Agensi berkenaan akan membantu penyiasatan sebarang nahas udara melibatkan pesawat Airbus kerana syarikat pengeluar pesawat tersebut berpangkalan di Perancis.
"Pada awal pagi 2 Januari, sebuah kapal akan membawa pasukan penyiasat ke kawasan carian, mereka turut membawa alat pengesan termasuk hidrofon, dalam usaha mengesan isyarat akustik daripada dua pita rakaman data pesawat (flight data recorder)," kata BEA dalam satu kenyataan.
Semasa dalam penerbangan pesawat malang itu telah meminta kebenaran daripada menara kawalan untuk terbang daripada ketinggian 32,000 kaki (9,753m) ke 38,000 kaki untuk mengelakkan cuaca buruk.
Selepas menara kawalan trafik udara membenarkan pesawat naik ke ketinggian 34,000 kaki beberapa minit kemudian, mereka sudah tidak lagi menerima maklum balas daripada pesawat berkenaan.
Setakat ini sembilan mayat telah berjaya ditemui selepas pesawat Airbus A320-200 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal terhempas Ahad lalu.