Ini kerana wang yang mereka ada turut digunakan untuk membaiki rumah dan bagi menggantikan perkakas yang rosak.
"Meskipun bantuan bekalan makanan dan pakaian harian tidak putus-putus diterima, namun kini saya lebih khuatir mengenangkan sesi persekolahan anak yang akan dibuka tidak lama lagi, kerana kelengkapan sekolahnya yang telah dibeli, dihanyutkan arus banjir," kata Siti Haryani Ramly, 29.
Beliau merupakan antara kira-kira 1,000 penduduk Kampung Aur Gading di sini yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.
Mereka sekeluarga kini masih menumpang di rumah jiran dan beliau sendiri tidak dapat mengajar kerana bahan pengajarannya musnah.
"Ternakan kambing kami juga hanyut kesemuanya yang menyebabkan kerugian hampir RM10,000," tambahnya.
Beliau berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan persekolahan anak-anak mangsa banjir.
Norjurinah, 36, turut gusar kerana persediaan sekolah tiga orang anaknya di sekolah menengah telah dihanyutkan air banjir.
"Ketika ini saya tidak dapat membeli semula kelengkapan persekolahan anak-anak saya kerana tidak ada jalan untuk keluar ke bandar. Memandangkan hari persekolahan semakin hampir, saya bimbang sekiranya tidak dapat menyediakannya semula," katanya yang turut mengharap bantuan persekolahan bagi anak-anaknya.