suria

Mangsa Rempuhan Di Shanghai Seorang Yang Ceria

Tan Wei
BEIJING: Tan Wei, pelajar Malaysia yang terbunuh dalam rempuhan pada malam tahun baharu di Shanghai, digambarkan sebagai seorang yang ceria dan suka membantu orang lain.

Rakan sekelasnya di sekolah tinggi, William Chow berkata di dalam kelas, dia adalah seorang suka ketawa dan menghiburkan.

"Kami menjadi kawan rapat kerana kami peminat artis Taiwan Jay Chou. Kami juga mempunyai hobi yang sama, iaitu lukisan Cina.

"Bukan mudah untuk mencari seorang sahabat yang berkongsi minat yang sama dengan kita," kata Chow yang merupakan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di China.

Tan merupakan pelajar sarjana muda dalam bidang pertanian dan alam sekitar di Universiti Zhejiang di Hangzhou manakala Chow sedang mengikuti kursus Perubatan Cina di Universiti Beijing.

Chow berkata kali terakhir bertemu Tan pada Ogos 2013 semasa pulang bercuti di Malaysia.

"Kami telah merancang untuk mengadakan satu perhimpunan dengan rakan-rakan sekelas dan guru-guru dari Hin Hua High School semasa Tahun Baru Cina.

"Kami tak selalu bertemu tetapi sentiasa berhubungan melalui komunikasi mudah alih selama ini, menjadikan hubungan persahabatan terus kekal sepanjang tahun," katanya.

Kematian Tan menjadi satu tamparan hebat kepada rakan-rakannya di China ketika mereka sedang membuat persediaan untuk peperiksaan akhir.

Chow berkata sekumpulan rakan-rakan sekolah tinggi akan melawat keluarganya di rumah untuk menyampaikan ucapan takziah.

Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Mohd Kamil Ab Ghani, berkata pihaknya telah meminta pihak berkuasa Shanghai mengeluarkan sijil kematian secepat mungkin bagi membolehkan keluarga Tan boleh melakukan langkah seterusnya.

Pegawai dari Konsulat Jeneral telah bersama-sama dengan keluarga Tan dan Ooi Hooi Yi, seorang lagi rakyat Malaysia yang cedera dalam rempuhan itu, sejak Khamis.

Tan dan Ooi adalah sepupu. Ooi melawat China untuk bercuti.

Media Cina melaporkan bahawa Presiden China Xi Jinping telah mengarahkan Shanghai untuk menyiasat punca rempuhan itu.

Artikel Lain