suria

Pemimpin MIC Akan Bertemu ROS Bincang Isu Pemilihan Semula Parti

KULAIJAYA: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Naib Presidennya, Datuk M. Saravanan dijangka bertemu dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Isnin untuk menyelesaikan isu pemilihan semula parti itu. 

Saravanan mendakwa ahli MIC kini berada dalam suasana yang tidak menentu kerana Presiden parti, Datuk Seri G. Palanivel belum memberi sebarang maklumat terbaru mengenai tarikh sebenar ROS akan mengadakan pemilihan semula parti. 

"ROS telah mengeluarkan sepucuk surat yang mengesahkan dua cawangan MIC akan dibatalkan pendaftarannya berkuat kuasa esok dan banyak lagi bahagian akan berhadapan dengan masalah sekiranya isu ini tidak segera diselesaikan. 

"Saya telah cuba menghubungi beliau sejak 15 hari yang lalu untuk mendapatkan penjelasan, namun semuanya tidak berhasil kerana dia enggan menjawab panggilan atau membalas mesej yang saya kirimkan kepadanya," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad. 

Saravanan berkata beliau telah menghubungi ramai pemimpin di peringkat bahagian untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut. Justeru, beliau akan bersama-sama dengan Dr Subramaniam akan bertemu dengan wakil ROS untuk mendapatkan penjelasan lanjut dalam isu berkenaan. 

"Jika kita tidak bertindak sekarang, bukan hanya lebih bahagian akan berhadapan dengan tindakan dibatalkan pendaftaran malah parti ini juga akan dibatalkan pendaftarannya secara keseluruhan pada bulan Mac," katanya sambil mengesahkan beliau dan Dr Subramaniam dijangka bertemu dengan ROS pada Isnin. 

Sebelum ini ROS dilaporkan telah membatalkan keputusan pemilihan parti bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang diadakan pada Perhimpunan Agung MIC. 

ROS telah mencadangkan agar parti itu mengadakan pemilihan semula kerana ia telah melanggar perlembagaan parti dak Akta Pertubuhan. 

MIC, Dr S. Subramaniam, MIC, Saravanan

Artikel Lain