suria

Surat Tuntutan Pemulangan Wang Pampasan MBI Dihantar Isnin

Azmin Ali.
SHAH ALAM: Lapan bekas pegawai bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menerima surat tuntutan esok bagi pemulangan semula wang pampasan berjumlah RM2.6 juta yang telah dibayar kepada mereka. 

Perkara itu disahkan oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) berikutan kenyataan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali semalam bahawa pihak pengurusan baharu perbadanan itu akan menghantar surat kepada lapan individu berkenaan sebagai peringatan untuk mengembalikan wang itu. 
 
"Kesemua surat tuntutan (pemulangan semula wang pampasan) akan dihantar pada Isnin ini (esok)," kata wakil perbadanan itu ketika dihubungi di sini hari ini. 

Semalam, Mohamed Azmin meminta kesemua lapan bekas pegawai MBI itu memulangkan semula wang pampasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan kerana mendakwa pembayaran tersebut dibuat tanpa mengikut prosedur dan melanggar peraturan kewangan. 

Menteri Besar berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat peguam. 

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kesemua lapan individu itu akan tetap dibayar pampasan mengikut jumlah sepatutnya. 

Sebelum ini, lapan pegawai kontrak bekas menteri besar yang dilantik oleh MBI dilaporkan menerima pampasan berjumlah sehingga RM2.6 juta, yang disifatkan oleh beberapa pihak termasuk Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad sebagai tidak munasabah. 

Pembayaran itu dibuat pada akhir tempoh perkhidmatan bekas menteri besar itu sebelum Mohamed Azmin mengambil alih jawatan menteri besar pada 23 Sept tahun lepas. 

Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pembayaran pampasan kepada lapan bekas pegawai beliau dilakukan dengan mematuhi peraturan dan prosedur MBI. 

Artikel Berikut

Artikel Lain