suria

Babi Hutan Sesat, Terperangkap Di Perpustakaan MMU

Gambar babi hutan yang terperangkap di perpustakaan MMU menjadi viral di media sosial.
CYBERJAYA: Seekor babi hutan jantan tersesat dan terperangkap kira-kira dua jam di perpustakaan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini, Isnin.

Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari, babi hutan tersebut dipercayai merempuh panel dinding kaca pada pintu belakang perpustakaan MMU lalu terperangkap.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Cyberjaya yang tiba kira-kira 10 minit kemudian mengosongkan perpustakaan untuk menangkap haiwan itu.

Babi hutan itu berjaya ditangkap pasukan bomba dan dibawa keluar dari bangunan tersebut kira-kira dua jam kemudian. 

Dalam satu kenyataan, Ketua Pustakawan MMU Kamal Sujak berkata kejadian itu amat mengejutkan, namun dengan kerjasama semua pihak termasuk pasukan bomba, Perhilitan dan Jabatan Keselamatan MMU, keadaan berjaya dikawal.

"Binatang liar ini mungkin tersesat dari kawasan hutan berdekatan memandangkan pembangunan pesat sekitar Cyberjaya," katanya.

Kamal berkata bahagian perpustakaan utama terpaksa ditutup disebabkan keadaan berselerak akibat usaha menangkap haiwan itu namun ruang bacaan utama 24 jam tetap dibuka seperti biasa.

Beliau menegaskan bahawa keadaan adalah selamat dan pembersihan sedang dijalankan.

"Kami akan memaklumkan kepada pelajar bila bahagian utama akan dibuka semula dalam masa terdekat," katanya.

Sehubungan itu, Kamal berkata MMU mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Sebelum ini, gambar haiwan yang kelihatan tersesat di dalam perpustakaan ini menjadi viral di laman sosial.
MMU, babi hutan

Artikel Lain