suria

Mangsa Banjir Peroleh MyKad Dalam Tempoh 24 Jam

Mangsa banjir di Tanah Merah bertungkus lumus membuat pembersihan rumah mereka yang terjejas teruk dengan selut dan lumpur ekoran banjir besar minggu lepas di Taman SL Bunga Raya. -fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Ratusan ribu mangsa banjir yang berhadapan masalah kerana kehilangan dokumen peribadi mendapat jaminan akan memperoleh semula kad pengenalan atau MyKad dalam masa 24 jam selepas membuat permohonan.

Bagi memudahkan penduduk yang ditimpa musibah itu, selain menyediakan pasukan sukarelawan Misi Ihsan Banjir Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang beroperasi dalam bas, mangsa banjir juga diberi kelonggaran untuk membuat permohonan di cawangan JPN terdekat atau di 229 cawangan JPN di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendaftaran, Datuk Sulaiman Keling berkata, jumlah mangsa banjir di seluruh negara yang mencecah angka ratusan ribu tidak menghalang JPN untuk berusaha memproses dan menyiapkan setiap permohonan yang dikemukakan oleh mangsa banjir mengikut Piagam Pelanggan.

Katanya, JPN juga sentiasa prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan bersedia memberi kemudahan kepada mereka yang kehilangan dokumen penting dari segi rundingan dan pemprosesan permohonan.

"Kita buat (proses) macam biasa, mangsa-mangsa yang buat aduan kehilangan dokumen peribadi kita akan beri layanan dan dibantu.

"Bila mangsa hantar permohonan, kita akan proses. Tempoh siap tak lama...kad pengenalan misalnya kalau tidak ada masalah dan ikut Piagam Pelanggan JPN siap dalam masa 24 jam," katanya kepada mStar Online, Isnin.


Mangsa banjir, Rejeah Mat Sohor, 81, dan Khairani Iberahim gembira menerima kad pengenalan baharu masing-masing di Pusat Pemindahan SK Sayong, Kuala Kangsar. Kedua-dua mereka kehilangan kad pengenalan ketika banjir besar baru-baru ini. 

Sulaiman berkata, bagi mempermudah dan mempercepatkan proses permohonan, mereka yang terlibat dengan banjir dan kehilangan dokumen penting boleh mendapatkan pengesahan daripada pihak tertentu terlebih dahulu seperti ketua kampung atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita nak mudahkan rakyat. Bila mangsa mengadu kepada kita, dengan adanya pengesahan daripada ketua kampung, JKM dan sebagainya, kita akan ganti dokumen mereka yang hilang," katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak dapat memastikan jumlah mangsa yang kehilangan dokumen kerana banjir baharu sahaja surut dan mangsa banjir lebih memberi tumpuan terhadap kerja-kerja pembersihan.

"Ada yang belum buat permohonan kerana nak bersihkan rumah, ada yang tak pasti, kemungkinan dokumen mereka masih ada.


"Sebahagian daripada mereka masih berada di pusat penempatan sementara. Mereka akan maklumkan (kehilangan) dari masa ke semasa dan kita akan berterusan melayan serta memberi khidmat kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, penggantian dokumen seperti kad pengenalan tidak akan dikenakan sebarang bayaran mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Dokumen lain yang diberikan pengecualian pembayaran termasuklah daftar kelahiran, kematian, perkahwinan, perkahwinan bagi bukan Muslim,  anak angkat dan sijil warganegara.


Dalam pada itu, beliau berkata, bas yang digunakan oleh sukarelawann Misi Ihsan Banjir JPN akan terus memasuki kawasan-kawasan yang dilanda banjir bagi memberi peluang kepada mangsa membuat permohonan MyKad dan mendapatkan salinan sijil kelahiran.

Misi berkenaan dijangka mengambil masa seminggu dan sebahagian anggota sukarelawan juga akan membantu mangsa banjir di Perak.

"Kita akan bantu lagi jika tempat itu boleh diakses dan ada kemudahan elektrik kerana urusan kita menggunakan komputer," katanya.

Selain berhenti di beberapa lokasi yang sesuai di Pahang, Terengganu dan Kelantan, misi tersebut juga membawa makanan, peralatan memasak, mencuci dan air mineral.

Unit bergerak itu juga digerakkan bagi membersihkan pejabat-pejabat JPN yang dilanda banjir selain membantu membersihkan kuarters warga kerja JPN dan kediaman penduduk di kawasan sekitar.

Artikel Sebelum

Zainal Rahim KP Mampu Baharu

Artikel Lain