suria

Banjir: Selangor Rangka SOP Baharu Projek Pembangunan

Azmin ketika melancarkan misi bantuan banjir ke Kelantan di Dataran Dewan Undangan Negeri, Rabu.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi memastikan projek pembangunan di negeri itu tidak menjejaskan ekosistem, sekali gus mengelakkan kejadian banjir seperti yang berlaku di negeri sekitar Pantai Timur.

Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali berkata, ‎semua pembangunan di negeri itu perlu mematuhi SOP baharu tersebut termasuk pembangunan di cerun bukit, kawasan tinggi, sistem perparitan dan pembinaan kolam tadahan di kawasan perumahan.

"Kita mahu memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus hutan simpan di Selangor dikekalkan dan tidak diteroka.

"Tindakan keras akan diambil terhadap mereka yang menceroboh hutan dan tanah kerana kita tak mahu apa yang berlaku di Lojing, Gua Musang dan Cameron Highlands berlaku di Selangor," katanya ketika ditemui pemberita selepas melepaskan misi bantuan kemanusiaan bencana banjir di Kelantan oleh Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan  Negeri Selangor Dataran Dewan Undagan Negeri di sini, Rabu.

Justeru, beliau berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat pada pagi Rabu bersetuju menubuhkan jawatankuasa untuk memantau supaya SOP yang ditetapkan akab dipatuhi oleh semua pihak.

"Saya telah mengarahkan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri melihat semua peruntukan undang sedia ada dalam usaha membendung pembalakan haram ini.

"Ini memerlukan penguatkuasaan dan undang-undang yang ketat supaya bencana alam seperti tanah runtuh tidak berlaku. Jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan bermesyuarat dalam masa terdekat supaya SOP baharu tersebut dapat dilaksanakan oleh semua pihak berkuasa tempatan di Selangor," katanya.

Dalam perkembangan lain Azmin berkata, kerajaan negeri akan turut menghulurkan bantuan di Pahang selepas ini.

"Pagi ini saya dapat panggilan  telefon dari Putrajaya meminta Selangor bantu mangsa pasca banjir di Pahang.

"Ini satu pengiktirafan kepada kita  setelah terlibat secara langsung membantu mangsa banjir di Kelantan. Selangor ambil pendirian awal untuk membantu mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa berkata, kerajaan negeri tidak mahu mangsa bencana banjir terperangkap dalam sentimen politik kerana usaha pemulihan memerlukan kerjasama sepenuh pihak.

"Kita berjaya kutip RM5 juta dan program pembangunan semula yang dilaksanakan berjaya membina semula rumah yang musnah akibat banjir.

"Kita juga telah berjumpa dengan pihak pemaju dan perbincangan akan dimuktamadkan esok. Pada masa sama kita turut menghantar RM500,000 untuk membina khemah sementara mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal," katanya. 

Artikel Lain