PETALING JAYA: Dermawan kini berpeluang melihat ke mana hasil sumbangan mereka disalurkan apabila tabung khusus diwujudkan untuk membina kediaman serendah RM35,000 seunit untuk mangsa banjir di Kelantan. Rumah contoh untuk Projek Perumahan Rakyat Budiman (PPRB) berskala kecil ini akan dibina di antara Jalan Kuala Krai-Gua Musang dan dijangka siap dalam masa sebulan. Fokus utama adalah untuk membina kediaman baharu di tanah milik mangsa banjir yang rumah mereka rosak teruk atau ranap akibat bencana itu yang keseluruhannya dianggarkan melibatkan lebih 3,000 rumah. Berdasarkan perancangan, kediaman yang akan dibina hasil sumbangan orang ramai ini berkeluasan 34 x 24 kaki persegi, tiga bilik tidur, bilik air, ruang tamu, dapur dan tempat letak kereta itu akan digerakkan sebaik mendapat lampu hijau daripada kerajaan negeri. "Kawasan-kawasan di Kuala Krai dan Gua Musang misalnya terdiri daripada masyarakat yang 'sesak' dan kita beri tumpuan kepada kawasan itu. "Penduduk kebanyakannya berkerja dalam bidang pertanian. Walaupun pada asalnya mereka ada rumah dan tanah, tapi selepas banjir mereka tak mampu nak bina rumah kerana sumber pendapatan terjejas," kata Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat kepada mStar Online. Suhaizan ketika meninjau keadaan mangsa banjir di Tanah Merah, Kelantan di mana rumahnya hanyut akibat banjir baru-baru ini. Menerusi PPRB yang akan dilancarkan, mangsa banjir akan mendapat kediaman baharu dan pada masa sama projek ini membuka ruang dan peluang kepada orang ramai yang ingin menderma dalam jumlah kecil, namun dapat melihat hasil wang yang didermakan. "Kita akan berperanan menyelaras bantuan masyarakat yang nak menderma, misalnya mereka nak bina sebuah, dua atau tiga buah rumah untuk mangsa banjir yang hilang tempat tinggal dan kita akan bantu mengikut arahan dan pengurusan kerajaan negeri," katanya yang menyasarkan untuk membantu lima peratus daripada keseluruhan rumah yang musnah. Suhaizan berkata, sumbangan masyarakat sama ada jawatankuasa masjid, hartawan atau keluarga berkemampuan itu akan dimasukkan dalam tabung khas yang akan dilancarkan. "Penyumbang ini mungkin bagi puluhan ribu tapi mereka tahu di mana letaknya rumah yang dibina dengan duit sumbangan mereka, tahu progresnya, siapa penghuninya...mereka nampak dengan mata mereka sendiri. "Bila libatkan masyarakat, ia akan mewujudkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan baharu pasca banjir. Orang luar datang buat rumah, secara tak langsung akan mengenali keluarga mangsa banjir dan wujudkan hubungan harmoni antara mangsa dan penyumbang. "Projek seperti ini remeh, takkan kita nak serah kepada kerajaan negeri, biarlah kerajaan tumpukan projek penempatan semula yang lebih besar di kawasan pekan dan kita bantu uruskan projek kecil seperti ini," katanya. Mangsa banir, Jamilah Ridzuan bersama anak-anaknya di tapak rumah mereka yang dihanyutkan air di Kampung Teluk Choh, Temangan Lama, Machang, Kelantan. Berdasarkan perancangan, terdapat tiga konsep bantuan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk diteliti. Konsep pertama adalah membina dahulu rumah-rumah menggunakan modal sedia ada dan sebahagian dana daripada Tabung Kemanusiaan Pemuda, dan kemudian mencari sumbangan atau penaja rumah berkenaan. Konsep kedua, rumah kekal akan dibina oleh penderma yang mempunyai barangan atau kepakaran dalam pembinaan dan konsep ketiga membina sebahagian rumah dan selebihnya diperkemaskan sendiri oleh penghuninya. Apa yang pasti katanya, rumah tersebut dapat dibina dengan cepat, kurang birokrasi, mudah urus, kekal dan harga berpatutan.