KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk keras serangan ke atas akhbar satira, Charlie Hebdo di Perancis pada Rabu yang mengorbankan 12 nyawa. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar pada Khamis mengecam tindakan tiga individu bersenjata yang membunuh nyawa yang tidak berdosa dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang tidak wajar. "Kerajaan Malaysia mengutuk keras serangan ke atas akhbar satira mingguan Perancis, Charlie Hebdo pada 7 Januari (Rabu). "Tiada justifikasi untuk mengambil nyawa mereka yang tidak berdosa. Malaysia menyatakan rasa sedih dan bersimpati dengan kehilangan mereka serta mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat. "Seperti yang dizahirkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), kita mesti melawan ekstremisme dengan kesederhanaan, memahami perbezaan budaya dan rasa hormat," menurut kenyataan itu. Hingga kini, polis Perancis mengesahkan sudah mengenal pasti tiga lelaki sebagai suspek serangan ke atas akhbar mingguan itu. Pegawai polis menamakan suspek sebagai Said Kouachi dan Cherif Kouachi, iaitu warga Perancis yang berumur lingkungan awal 30-an manakala seorang lagi berusia 18 tahun dikenali sebagai Hamyd Mourad yang kerakyatannya belum disahkan.