suria

Sampah Pasca Banjir Dibersih Segera Elak Penularan Penyakit

Longgokan sampah pasca banjir di sisi jalan sekitar Kuala Krai.

TEMERLOH: Semua agensi berkaitan di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan digerakkan untuk membantu proses pembersihan pasca banjir bagi mengelak penularan penyakit berjangkit terutama yang disebabkan oleh bangkai binatang.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (PPSPA) dan syarikat konsesinya, Alam Flora Sdn Bhd telah diminta menguruskan sisa pepejal dengan cara terbaik bagi menjamin kesihatan penduduk.

"Sampah selepas banjir adalah meliputi sisa pepejal, bangkai haiwan dan kenderaan rosak yang dikhuatiri mendatangkan mudarat kepada kesihatan penduduk jika lambat dibersihkan.

"Kerja itu pastinya membabitkan perbelanjaan besar dan Kelantan yang paling teruk terjejas dalam bencana banjir di mana kita perlu RM78 juta untuk melakukan kerja pembersihan serta memperbaiki infrastruktur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin di sini, Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Sadique.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata jumlah bagi kos pembersihan sisa-sisa banjir di Pahang dan Terengganu masih dalam perkiraan.

"Kos keseluruhan hanya dapat diketahui bila air sudah surut, tetapi pasti membabitkan kos tinggi dengan mengambil contoh peruntukan RM90 juta untuk membersihkan kawasan di Johor serta Melaka," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Bencana Banjir Temerloh untuk menjadikan 100 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini sebagai pusat penempatan sementara mangsa banjir yang kediaman mereka musnah dalam bencana itu baru-baru ini.

"Kediaman yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air itu agak selesa untuk dihuni oleh mangsa banjir sementara menunggu kediaman kekal mereka siap sepenuhnya.

"Rumah itu sudah siap dan mempunyai pelbagai kemudahan, ia boleh didiami bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk memastikan rumah kekal untuk mangsa banjir dapat disiapkan secepat mungkin seterusnya memberi keselesaan kepada mereka.

"Saya difahamkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja membaik pulih rumah terutama di kawasan luar bandar dan kita akan bantu mereka," katanya.


Artikel Lain