suria

Menghasut: Hishamuddin Rais Didenda RM5,000

KUALA LUMPUR: Aktivis Hishamuddin Md Rais pada Jumaat didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei 2013.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap Hishamuddin, 63, pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Hishamuddin dipenjara enam bulan jika dia gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Ketika membuat keputusan itu, Azman berkata mahkamah memberikan hukuman berbentuk denda dan bukan pemenjaraan kerana mengambil kira faktor usia tertuduh yang sudah lanjut melepasi usia persaraan ketika disabitkan bersalah.

Azman berkata tertuduh juga hanya sekadar memberi ucapan berapi di dalam dewan tetapi tidak berjaya mempengaruhi orang ramai yang mendengar ucapan berkenaan.

"Selain itu, tidak berlaku sebarang kekecohan dan saya juga berpuas hati dengan hujahan peguam bela bahawa tiada kepentingan awam yang perlu diambil kira dengan memenjarakan tertuduh," katanya.

Mengikut pertuduhan, Hishamuddin didakwa memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara tidak sah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Terdahulu, peguam Syahredzan Johan yang mewakili Hishamuddin, memohon hukuman pemenjaraan tidak dikenakan terhadap anak guamnya, sebaliknya memohon mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah atau hukuman berbentuk denda.

"Dalam kes ini, kata-kata yang diucapkan oleh anak guam saya tidak melibatkan rusuhan, memberi ancaman kepada keselamatan negara dan tidak ada apa-apa percubaan untuk menjatuhkan negara," katanya sambil menambah hukuman pemenjaraan akan memberi kesan negatif terhadap anak guamnya memandangkan usianya yang lanjut.

Timbalan Pendakwa Raya Kee Wei Loon yang memohon hukuman pemenjaraan memberi hujah bahawa kesalahan yang dilakukan adalah serius berdasarkan pertambahan kes yang sama sejak kebelakangan ini.


Hasut, Aktivitis, Hishamuddin Rais

Artikel Berikut

Artikel Lain