suria

Pasangan Penjenayah Paris Tak Pernah Ke Malaysia - KPN

Khalid Abu Bakar.

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasangan penjenayah yang melakukan serangan di Paris, Amedy Coulibaly dan isterinya, Hayat Boumeddiene tidak pernah berkunjung ke Malaysia.

“Semakan @PDRMsia (akaun twitter Polis Diraja Malaysia), Amedy Coulibaly dan isterinya Hayat Baumeddiene tidak dikesan pernah masuk ke Malaysia,” katanya di Twitter.

Beberapa minit selepas itu, Khalid sekali lagi menulis di Twitternya: “Serangan Paris – Pemeriksaan oleh @PDRMsia memutuskan Amedy dan isterinya Hayat tidak pernah memasuki Malaysia.”

Media asing menyiarkan laporan mendakwa pasangan itu pernah berkunjung ke Malaysia.


Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan tarikh kunjungan mereka, tetapi memetik sumber yang memaklumkan kedua-duanya pernah bercuti di negara ini.

Coulibaly ditembak mati selepas menyerang pasar raya di timur laut Paris pada Jumaat.

Penjenayah itu mendesak pembebasan dua bersaudara, Cheris, 32 dan Said Kouachi, 34 yang terbabit menyerang pejabat akhbar Charlie Hebdo dan membunuh 12 orang pada Rabu. Bagaimanapun, kedua-duanya ditembak mati di Dammartin-en-Goele.

Setakat ini, Boumeddiene dipercayai masih bebas selepas melarikan diri dari pasar raya dan kini menjadi penjenayah wanita paling dikehendaki di Perancis kerana bersenjata dan berbahaya.

Artikel Lain