suria

Suami Isteri Disyaki Sebar Maklumat Palsu Banjir Ditahan

Mazlan (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan salinan maklumat palsu melalui aplikasi WhatsApp selepas menahan pasangan suami isteri semalam kerana disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir di Guchil dan Kuala Krai melalui aplikasi WhatsApp ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Ahad.

KOTA BARU: Polis Kelantan menahan sepasang suami isteri berjawatan guru kerana disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir melalui laman aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suami isteri berumur 45 dan 43 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sebuah rumah di Kodiang, Kedah, pada 12 tengah hari Sabtu.

"Suspek disyaki menyebarkan maklumat palsu melalui aplikasi WhatsApp yang kononnya ada mayat bergelimpangan di Guchil, Kuala Krai dan ia merupakan mesej yang berbaur fitnah serta palsu.

"Kedua-dua suspek bekerja sebagai guru, kita tahan suspek untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar mengenai tangkapan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, Ahad.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Rosli Abdul Rahman.

Mazlan berkata pasangan itu akan direman untuk membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 11 kematian direkodkan manakala dua mangsa masih hilang dalam kejadian banjir besar yang melanda Kelantan bulan lepas.

banjir, palsu, WhatsApp, Guchil

Artikel Lain