GENTING HIGHLANDS: Malaysia sedang berbincang dengan Australia dan China untuk menggunakan kapal 'Fugro Supporter' bagi membantu mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata lebih banyak kelengkapan perlu digunakan berikutan kesulitan yang dihadapi misi mencari pesawat itu di selatan Lautan Hindi. Katanya ketika ini, tiga kapal terlibat dalam operasi mencari pesawat berkenaan iaitu 'Go Phoenix', 'Fugro Discovery' dan 'Fugro Equator'. "Kami sedang berusaha menambah satu lagi kapal dan apabila tiba masanya, kami akan buat pengumuman mengenainya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Kem Latihan Kader MCA Negeri Sembilan di sini Ahad. Operasi mencari Penerbangan MH370 kini memasuki bulan kesembilan sejak ia hilang pada 2.40 pagi 8 Mac tahun lepas. Pesawat membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua bayi itu, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Liow berkata setakat ini, kerja mencari di dasar laut meliputi 26 peratus daripada 60,000 kilometer persegi kawasan pencarian. Mengenai pesawat Air Asia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pula, Liow berkata beliau berharap kotak hitam pesawat itu segera dijumpai berikutan laporan yang menyatakan isyarat pingnya kini semakin kuat. "Kita berharap usaha mencari pesawat dan lebih ramai mangsa akan dapat diteruskan memandangkan cuaca baik. Malaysia akan terus membantu, bukan sahaja dalam misi mencari dan menyelamat, malah dalam siasatan," katanya.