suria

16,000 Anggota ATM Bantu Mangsa Banjir Di Sarawak

Anggota ATM turut sama bergotong-royong membantu penduduk kampung untuk membersihkan lumpur akibat banjir kilat yang melanda Kampung Chamang, Bentong.

KUCHING: Sejumlah 10,000 anggota tentera dari Markas Satu Divisyen, Kem Muara Tuang dekat sini dan 6,000 askar wataniah akan dikerahkan untuk tugas menyelamat mangsa banjir sekiranya negeri ini dilanda bencana itu.

Panglima Markas Satu Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, anggota tentera dari Sabah akan turut dikerahkan sekiranya banjir melanda Bahagian Lawas dan Limbang.

Setakat ini 6,000 anggota askar wataniah sudahpun ditempatkan di kawasan-kawasan yang dijangka dilanda banjir, katanya kepada Bernama selepas taklimat pengurusan bencana banjir negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, Isnin.

Taklimat berkenaan telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Sementara itu dalam sidang akhbar selepas taklimat berkenaan, Jabu berkata jumlah anggota penyelamat dari pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan adalah mencukupi bagi tugas-tugas menyelamat sekiranya banjir melanda negeri ini.

Jabu berkata, walaupun Jabatan Meteorologi menjangka tidak akan berlaku banjir serius di negeri ini, tetapi memandangkan musim hujan dijangka berlanjutan sehingga Mac tahun ini maka persiapan rapi tetap dilakukan bagi menghadapai sebarang kemungkinan.

"Melihat banjir teruk yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia maka kita telah membuat persiapan yang rapi bagi menghadapai sebarang kemungkinan," katanya.

Katanya, taklimat hari ini meliputi perkara-perkara seperti mekanisme pengurusan bencana negara, struktur pengurusan bencana negeri Sarawak dan kesiapsiagaan aset dan anggota dalam tindak balas pengurusan bencana di negeri ini.

Menurut Jabu sebanyak 600 pusat pemindahan sudah dikenal pasti selain beberapa pangkalan hadapan di kawasan-kawasan strategik di setiap daerah di negeri ini untuk menyimpan bekalanan makanan dan keperluan lain.

Di samping itu, katanya sebanyak 180 pembekal makanan dan barangan keperluan lain sudahpun dikenal pasti sementara setiap daerah akan dibekalkan dengan 50 jaket keselamatan.

ATM, mangsa banjir, Sarawak

Artikel Berikut

Artikel Lain