suria

Pemuda PAS Mahu Hadi Terus Kekal

Abdul Hadi Awang

PETALING JAYA: Meskipun dianggap lemah dalam menyelesaikan kemelut Menteri Besar Selangor, PAS masih memerlukan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menerajui parti itu.

Ketua Pemudanya, Suhaizan Kaiat berkata Abdul Hadi wajar dikekalkan sebagai Presiden PAS dalam pemilihan parti itu yang dijangka diadakan pada Jun depan.

"Kami berpandangan Datuk Seri Abdul Hadi masih diperlukan (sebagai Presiden PAS). Parti masih memerlukan beliau sebagai ketua," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai saranan bekas Exco Pemuda PAS Pusat, Zulhazmi Shariff agar Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan parti itu akan datang.

Sebaliknya Zulhazmi mencadangkan supaya Abdul Hadi menggantikan kedudukan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur sebagai Mursyidul Am PAS.

Diminta mengulas kemungkinan saranan Zulhazmi itu merupakan isyarat awal kepada usaha untuk menggulingkan Abdul Hadi, Suhaizan bagaimanapun menolak tanggapan itu.

Katanya cadangan berkenaan lebih bersifat peribadi tanpa mewakili mana-mana pihak dalam PAS.

"Saya tak fikir begitu (usaha gulingkan Abdul Hadi). Itu pandangan peribadi. Semua ahli PAS berhak memberikan pandangan. Namun akhirnya saya yakin PAS Kawasan bijak membuaat keputusan.

"Saya yakin PAS Kawasan tidak akan terpengaruh dengan pandangan individu, mereka ada pertimbangan yang lebih besar," katanya.

Sebelum ini ketika Pakatan Rakyat berhadapan krisis Menteri Besar Selangor, PAS dilihat sentiasa mengambil jalan bertentangan apabila secara konsisten tidak bersetuju dengan pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal jawatan tersebut.

Malah Abdul Hadi sendiri secara terbuka mengakui Dr Wan Azizah tidak mampu mentadbir kerajaan Selangor.

Pendirian Abdul Hadi itu tidak disenangi oleh kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk di kalangan pemimpin PAS sendiri.

Artikel Lain