KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan tindakan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menebus kembali semua dana berjumlah AS$2.318 bilion (RM8.147 bilion) yang dilaburkan di Kepulauan Cayman. Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata, keputusan menebus kembali dana pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu jelas bertentangan dengan pendirian yang dipertahankan syarikat itu sebelum ini. "Kenapa sekarang tebus balik kalau sebelum ini mereka mendakwa pelaburan di kepulauan itu sangat menguntungkan? "Dahulu 1MDB dan kerajaan pertahankan pelaburan di sana walaupun orang ramai persoalkan bahawa Kepulauan Cayman bukan tempat pelaburan yang baik," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, Selasa. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Presiden merangkap Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berhubung penebusan dana yang berasal daripada pembayaran balik pinjaman kepada PetroSaudi pada 2011, dalam bentuk Nota Murabaha berikutan penamatan perjanjian kerjasama yang dimeterai sebelum itu. Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menuntut penjelasan 1MDB mengenai jumlah keuntungan hasil pelaburan di Cayman Islands sebelum penebusan dana dibuat. "Dulu mereka kata untung, jadi kita nak tahu juga berapa banyak 1MDB buat keuntungan di sana?," soalnya. Selain itu, Mahfuz juga mahu 1MDB menjelaskan mengenai kegagalannya melunaskan hutang bernilai RM2 bilion yang sepatutnya dibayar pada penghujung Disember lalu. Menurut Mahfuz, sehubungan itu 1MDB diberi tempoh sehingga 31 Januari ini bagi membuat pembayaran tersebut. "Difahamkan daripada RM2 bilion hutang tersebut, 58.99 peratus adalah kepada Maybank, RHB (32.41 peratus), Alliance Investment Bank Bhd (4.06 peratus), Malaysia Building Society Bhd (3.24 peratus) dan Hwang DBS Investment Bhd (1.29 peratus). "Pihak kerajaan sebelum ini begitu bersungguh-sungguh memberi jaminan bahawa 1MDB tidak gagal dalam membayar hutang sedangkan hakikat yang berlaku adalah sebaliknya," katanya.