suria

PAS Sokong Penahanan Paulsen

KUALA LUMPUR: PAS mempertahankan tindakan berani pihak polis menahan peguam Eric Paulsen berikutan kenyataannya mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan pantas pihak polis adalah wajar kerana kenyataan Paulsen dianggap boleh mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama.

"Kita serah kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan. Adalah tidak wajar untuk membangkitkan isu berkaitan khutbah yang dikeluarkan Jakim. Kalau ada khutbah yang menjurus kepada ekstremisme, sila perincikan, khutbah bila, tajuk apa.

"Tak boleh buat dakwaan umum kerana khutbah adalah ibadah kepada orang Islam," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, Selasa.

Pada Isnin malam, polis menahan peguam hak asasi kemanusiaan itu yang juga Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty di Brickfields.

Sebelum itu, Eric membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 12 tengah hari Isnin mendakwa menerima ugutan bunuh.

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, umat Islam tidak pernah mempersoalkan khutbah yang turut menjadi amalan penganut agama Kristian.

"Orang Islam tak pernah persoalkan khutbah penganut Kristian pada Ahad di gereja.

"Tak persoalkan apa kandungan. Jangan bangkitkan perkara yang boleh mengeruhkan hubungan masyarakat berbilang kaum dan agama negara kita," katanya.



PAS, Eric Paulsen, Jakim

Artikel Berikut

Artikel Lain