KOTA KINABALU: Seorang tertuduh pada perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu dipercayai telah dilatih untuk peperangan gerila, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Selasa. Ketua Kompeni C Batalion ke-16 Pasukan Gerakan Am (PGA) ASP Mohamad Zaiful Zahari berkata tertuduh Aiman Radie menunjukkan taktik perang gerila apabila dia ditangkap di tepi pantai Kampung Tanduo, Lahad Datu kira-kira 7.20 malam pada 2 Mac, 2013, walaupun berpakaian awam dan membawa beg sandang yang mengandungi kebanyakannya kelengkapan dandanan diri. Mohamad Zaiful yang ketika itu Komander Platun 1, Kompeni A Batalion ke-16 PGA atau lebih dikenali sebagai 'Tiger Platoon', berkata perbuatan Aiman berjalan seorang diri di tepi pantai pada waktu malam adalah taktik perang gerila untuk mengelakkan daripada ditangkap pasukan keselamatan. "Sebagai pegawai yang pernah dilatih dalam Tiger Platoon dan ada mempelajari taktik peperangan gerila, mengurangkan jejak kita untuk mengelak daripada dikesan cukup untuk menunjukkan satu taktik peperangan gerila," katanya. Mohamad Zaiful memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang menghadapi pertuduhan atas pelbagai kesalahan bersabit dengan insiden pencerobohan di Kampung Tanduo. - Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkaitan taktik perang gerila yang biasanya digunakan, pegawai PGA itu berkata taktik asas yang dipelajarinya semasa latihan adalah perbuatan penyamaran dan menyusup masuk kesesuatu kawasan bagi tujuan sabotaj. Apabila ditunjukkan satu ikat gambar di mahkamah, Mohamad Zaiful menunjuk kepada gambar yang memaparkan Aiman memakai baju penyamaran dan seluar jeans berwarna biru dengan topi penyamaran. Dalam gambar itu, tertuduh juga dilihat membawa parang kecil (barong) yang disandang pada bahagian belakangnya, kata saksi itu. Ketika ditanya Ishak mengapa tertuduh berpakaian ala tentera dalam gambar tetapi memakai pakaian awam semasa dia ditangkap, Mohamad Zaiful berkata antara taktik perang gerila apabila seseorang berada di bawah tekanan atau kemungkinan menghadapi kekalahan adalah mempraktikkan penyamaran dengan melucutkan semua senjata, pakaian dan peralatan yang mendedahkan identiti sebenarnya. Semasa pemeriksaan balas, saksi tidak bersetuju dengan andaian peguam Datuk N.Sivananthan bahawa dia adalah seorang pakar dalam perang gerila. Sivananthan: Jadi, adakah itu bermakna kamu hanya terlatih dalam perang gerila? Mohamad Zaiful: Ya. Sivananthan: Saya menyatakan kepada kamu bahawa keterangan kamu mengenai apa yang dilakukan tertuduh (berjalan seorang diri di tepi pantai) adalah berdasarkan penilaian dan spekulaasi semata-mata. Mohamad Zaiful: Saya tidak bersetuju. Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas. Mereka dikatakan melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April, 2013. Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada Rabu.