suria

GST: Pastikan Pengelak Cukai Tegar Tak Lari Daripada Tanggungjawab

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan mulai 1 April depan dilihat dapat menangani golongan pengelak cukai tegar daripada terus lari daripada tanggungjawab mereka membayar cukai.

Hakikatnya kelak, hasil pelaksanaan GST pada kadar enam peratus bagi  menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan itu bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Sharifuddin Musa berkata menerusi GST kerajaan dapat memantau syarikat-syarikat berdaftar untuk memastikan mereka membayar cukai ditetapkan.

"Misalnya sebelum ini kalau ada 10,000 peniaga yang sepatutnya membayar cukai mungkin hanya sebahagian bayar selebihnya akan lari daripada tanggungjawab itu," katanya kepada kepada Bernama di sini,  Rabu.

Pengerusi Biro Profesional Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata, pelaksanaan GST dilihat dapat mendisiplinkan pengelak cukai untuk melaksanakan tanggungjawab mereka membayar cukai.

"Apabila kerajaan melaksanakan GST, ia bertujuan memanfaatkan kembali rakyat dan bukannya membebankan, cukai yang dikumpul digunakan untuk tujuan pembangunan demi keselesaan mereka.

"Pelaksanaan itu juga dapat membantu kerajaan mengurangkan golongan yang liat membayar cukai kerana mereka sentiasa dipantau dari semasa ke semasa," katanya.

Setakat 12 Jan lepas sebanyak 310,000 syarikat telah berdaftar untuk GST, mengatasi jumlah sasaran awal 150,00 syarikat.

Beliau menyifatkan tindakan pembangkang yang cuba mempengaruhi pemikiran rakyat sebagai tidak bertanggungjawab kerana cuba menghalang kerajaan menggunakan hasil kutipan cukai untuk disalurkan kembali kepada rakyat.

"Mereka (pembangkang) dilihat cuba memberitahu rakyat bahawa GST itu membebankan sehingga menyebabkan sesetengah pihak liat untuk membayar cukai.

"Tindakan itu sebenarnya hanya untuk mencapai hasrat politik mereka dan bukannya bertujuan untuk pembangunan negara, sebab itu wujudnya golongan enggan membayar cukai," katanya.

Sementara itu Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata GST dilihat lebih telus serta terancang.

Selepas ini, katanya kerajaan lebih mudah untuk mengesan peniaga yang selama ini tidak mendaftarkan syarikat mereka sebagai pembayar cukai.

"Sebab itu banyak negara mengamalkan GST kerana ia lebih memudahkan dan memastikan sistem percukaian dipungut dengan efisyen serta teratur, hasil itu kemudiannya dipulangkan semula kepada rakyat," katanya.

Bagaimanapun, kerajaan perlu bersedia sepenuhnya daripada aspek penguatkuasaan bagi memastikan peniaga tidak memanipulasi GST sebagai satu kaedah untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

"Itu yang dibimbangkan rakyat sebenarnya setakat ini belum nampak lagi penekanan terhadap perkara itu," katanya.

Sementara itu, Anggota Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Shaani Abdullah berpendapat rakyat khususnya golongan pengguna akan kerugian sekiranya GST tidak dilaksanakan mengikut tarikh ditetapkan.

"Sistem percukaian baharu ini menjanjikan kutipan cukai lebih efisyen oleh kerajaan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan negara yang mana ia boleh digunakan untuk projek pembangunan dan sudah tentu lebih ramai golongan berpendapatan rendah dapat dibantu," katanya.

Justeru, beliau menegaskan pengguna perlu memahami GST melalui perspektif  lebih meluas serta tidak hanya fokus kepada fenomena kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.


GST, cukai, Sharifuddin Musa

Artikel Lain