suria

Kenyataan Saya Di Twitter Dalam Lingkungan Undang-Undang - Paulsen

Paulsen ketika ditemui media selepas dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada Rabu.
KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen percaya kenyataannya menerusi akaun Twitter yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi fahaman ekstremisme di negara ini adalah dalam lingkungan undang-undang dan Perlembagaan.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 4.30 petang Rabu, dua hari selepas ditahan malam Isnin lalu.

"Saya percaya Perlembagaan Persekutuan membenarkan rakyat Malaysia untuk bersuara di dalam lingkungan undang-undang dan saya percaya twit saya adalah dalam lingkungan undang-undang tersebut," katanya kepada pemberita selepas dibebaskan.

Paulsen dikritik selepas beliau menulis di laman Twitternya yang menggesa kerajaan untuk meneliti kutbah Jumaat oleh Jakim yang didakwa menggalakkan ekstremisme.

Beliau berkata penahanannya adalah tidak wajar kerana dia sanggup tampil pada hari beliau hadir untuk membuat laporan polis mengenai ancaman bunuh yang diterimanya.

Paulsen dilaporkan menerima beberapa ugutan bunuh menerusi Twitter dan WhatsApp sepanjang minggu semasa beliau berada di pejabat.

Paulsen juga berkata beliau akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial pada masa hadapan.

"Saya juga akan memilih perkataan dengan lebih berhati-hati kerana perkara seperti ini boleh menjadi tidak terkawal," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kenyataan Paulsen menerusi akaun Twitternya akan disiasat dibawah Akta Hasutan.


Eric Paulsen, Jakim, kutbah Jumaat

Artikel Lain