KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia yang disyaki mengetuai cabang pengganas kumpulan Negara Islam (IS) di Australia telah ditahan selepas operasi selama tiga bulan dijalankan. Bekas penyelia kilang berusia 29 tahun itu telah menjalankan kegiatannya sejak 29 September, malah berkerja di Australia untuk 'menutup' aktivitinya yang dijalankan secara rahsia. Walau bagaimanapun, muslihat ini telah disedari pihak berkuasa dan rakyat Malaysia yang telah melanggar pas lawatan sosial itu telah ditahan oleh pegawai Imigresen Australia pada 28 Disember lalu. Dia telah dihantar pulang ke Malaysia pada malam Rabu dan pegawai Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman telah menunggunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sumber mendedahkan bahawa lelaki itu, yang berasal dari Selangor, telah ditangkap apabila mendarat kira-kira pukul 6 pagi Khamis. Rupa-rupanya, rangkaian kumpulan pengganas itu turut terdiri daripada pasangan suami isteri dari Malaysia. Mereka berdua telah dihantar pulang dan ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia pada 7 Januari. "Pihak berkuasa percaya bahawa lelaki itu bertanggungjawab merekrut dan menguruskan penghantaran militan Malaysia ke Turki dan kemudiannya ke Syria melalui Australia," kata sumber berkenaan. "Mereka menggunakan Australia sebagai pusat transit. Setakat ini, sekurang-kurangnya lima anggota dari Malaysia dipercayai menggunakan laluan yang ditetapkan. "Selain merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai perjuangan IS, ia juga menawarkan nasihat kepada rakan-rakan pejuang yang lain berhubung laluan yang perlu diambil bagi mengelak daripada dikesan dan menghubungkan mereka dengan kenalan di Syria. "Rangkaian ini juga menyediakan bantuan kewangan untuk pejuang yang mahu berangkat ke Syria," kata sumber itu. Dengan penangkapan itu, pihak berkuasa bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat militan Malaysia yang lain di Australia. Mengenai pasangan suami isteri yang ditahan, sumber memberitahu bahawa mereka telah pergi ke Australia dengan anak perempuan mereka yang berusia 14 bulan. "Lelaki itu adalah bekas operator kilang di Selangor manakala wanita itu, yang berasal dari Kedah, seorang suri rumah. "Mereka meninggalkan segalanya dan membawa bayi mereka ke Australia dengan tujuan untuk mengabdikan hidup mereka dengan kumpulan IS," tambah sumber itu. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ketiga-tiga suspek telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). Penangkapan ketiga-tiga mereka membawa jumlah yang ditahan oleh Cawangan Khas Bukit Aman kepada 54 sejak Februari lepas. Mereka yang ditahan termasuk kakitangan awam, anggota tentera laut dan tentera udara serta pegawai yang bertugas dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Seorang bekas pelatih Khidmat Negara, bersama dengan beberapa pelajar universiti swasta dan awam, adalah antara yang terbaharu ditangkap.