suria

MyEG: Caj PLKS Tak Termasuk Kos Usir Pati – Imigresen

Sakib Kusmi.

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menjelaskan, caj yang dikenakan terhadap proses pembaharuan Pas Lanjutan Kerja Sementara (PLKS) yang menggunakan perkhidmatan baharu menerusi sistem dalam talian MyEG Service Bhd (MyEG) tidak membabitkan kos pengusiran pekerja asing tanpa izin (Pati).

Jabatan itu tampil menjelaskan perkara itu susulan laporan media sebelum ini bahawa antara caj RM38 yang dikenakan MyEG adalah bertujuan untuk menanggung kos penghantaran pekerja asing tidak sah yang berjaya ditangkap.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Sakib Kusmi berkata, sebaliknya butiran tersebut sebenarnya adalah kos bagi proses menyediakan maklumat bagi dokumentasi pengusiran Pati.

“Kos pengusiran Pati sebenarnya ditanggung oleh mereka sendiri dan kerajaan negara masing-masing, manakala Jabatan Imigresen menguruskan hal pengusiran mereka.

“MyEG hanya menyediakan maklumat dan proses dokumentasi bagi pengusiran Pati,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Mengenai dakwaan caj tambahan PLKS dari RM38 kepada RM58 yang mempunyai kaitan skim insuran pekerja asing, Sakib berkata, perkara itu seharusnya dirujuk dengan MyEG dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Jabatan Imigresen hanya agensi pelaksana dan sebarang penetapan caj membabitkan PLKS di atas persetujuan MyEG dan KDN. Ia di luar bidang kuasa kami,” kata Sakib.

Pada Rabu, mStar Online melaporkan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin mendakwa sistem dalam talian itu menggalakkan monopoli kerana difahamkan majikan yang memperbaharui permit tersebut disaran supaya membeli skim perlindungan insurans yang ditawarkan MyEG.

Shamsuddin turut mempersoalkan caj RM38 yang dikenakan MyEG antara lain untuk menanggung kos penghantaran pulang Pati yang ditahan ke negara asal.

“Kenapa pula majikan dibebankan dengan bayaran berkenaan? Saya merasakan ia sesuatu yang pelik kerana majikan dihukum dengan kehadiran pekerja asing tanpa izin,” katanya.

Dilaporkan, MyEG dalam makluman kepada Bursa Malaysia, berkata pihaknya berperanan untuk menyusun, mengesahkan, mengekalkan, mengemaskini dan menganalisis pangkalan data pekerja asing yang sah dan yang menyalahi undang-undang.

"Ini termasuklah majikan pekerja asing yang diiktiraf dan pihak yang tanpa disedari mempunyai pekerja asing yang didaftarkan di bawah nama mereka serta pekerja asing yang tidak sah di dalam daftar gaji mereka.

"MyEG mempunyai tanggungjawab bagi memastikan insurans yang sah ada sebelum memproses urus niaga, kerana MyEG akan bertanggungjawab untuk sebarang ketidakpatuhan," katanya.

Menurut MyEG lagi, bayaran RM38 adalah untuk skop tanggungjawab tersebut, serta bagi tugas penyerahan permit yang diperbaharui dengan pengesahan biometrik kepada rumah atau pejabat pemohon.

Artikel Lain