suria

Tambang Bas Sekolah: Kenaikan Lima Peratus Tak Berbaloi - Pengusaha

PETALING JAYA: Walaupun terdapat pengusaha bas sekolah yang mula menaikkan tambang sebanyak lima hingga 20 peratus, masih ada dikalangan mereka masih ragu-ragu mengenai kadar baharu yang berkuat kuasa pada bulan ini.

Presiden Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM), Amali Munif Rahmat berkata, jumlah kenaikan tersebut didakwa masih menimbulkan persoalan dikalangan pengusaha sama ada ia cukup untuk menampung kos operasi mereka untuk jangka masa panjang atau sebaliknya.

Namun, beliau berpendapat kenaikan sebanyak lima peratus adalah tidak berbaloi dan masih tidak mencukupi untuk menampung peningkatan pelbagai kos yang terpaksa ditanggung pengusaha.

"Sebagai contoh kalau tambang RM40 kemudian dinaikkan sebanyak lima peratus, pengusaha hanya naik sebanyak RM2 sahaja. Tapi adakah kenaikan itu berbaloi untuk menampung kos operasi bagi jangka masa panjang?

"Bagi saya ia tidak berbaloi kerana jumlah tersebut terlalu kecil. Malah ia tidak cukup untuk menampung kerugian yang terpaksa ditanggung akibat peningkatan kos operasi sejak 2012," katanya kepada mStar Online.

Meskipun ada pihak yang mempertikaikan kenaikan itu memandangkan harga minyak turun pada ketika ini, Amali Munif berkata, pengusaha hanya mendapat subsidi diesel sebanyak 4.9 sen seliter dengan harga di pam adalah RM1.93.

Amali Munif Rahmat.


“Sekarang kami hanya dapat subsidi sebanyak 4.9 sen. Sebelum ini kerajaan juga menarik balik subsidi minyak bas sekolah sebanyak 40 sen seliter iaitu 20 sen pada September 2013 dan selebihnya pada tahun lalu. Penarikan subsidi ini menyebabkan kos bahan bakar bertambah mengikut saiz bas digunakan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah kenaikan adalah bergantung kepada budi bicara pengusaha mengikut kawasan masing-masing kerana mereka dilarang menetapkan struktur tambang bersama.

"Sekarang terpulang kepada pengusaha untuk menentukan tambang mereka secara bebas. Kita tidak boleh tetapkan kadar tambang bersama kerana ia bertentangan dengan Seksyen 4 Akta Persaingan 2010," katanya.

Amali Munif berkata, walaupun terdapat ura-ura akan berlaku kenaikan sehingga 50 peratus sebelum ini, pengusaha masih boleh bertolerasi dengan ibu bapa yang tidak inginkan kenaikan yang terlalu tinggi.

"Kami masih lagi ada sikap belas kasihan tapi kenaikan terpaksa dilakukan walaupun dalam jumlah yang kecil. Tidak sampai hati pula tetapkan harga yang terlalu tinggi memandangkan anak mereka adalah pelanggan tetap kami," katanya.

Kemelut tambang bas sekolah masih tidak bernoktah sehingga hari ini kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tetap enggan memperkenalkan semula harga siling atau tambang harga asas yang sepatutnya menjadi garis panduan kepada pengusaha dalam menetapkan satu kadar yang munasabah.

Pada masa sama, Amali Munif berkata, pengusaha bas tetap menaikkan surcaj tambang bermula awal tahun ini selepas lebih lima tahun tambang bas sekolah tidak pernah dikaji semula.

"Kami berdepan situasi yang rumit. Jika tiada kenaikan dikhuatiri lebih banyak pengusaha yang gulung tikar kerana tidak mampu menampung kos sedia ada," katanya.














Amali Munif Rahmat, bas sekolah

Artikel Lain