PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat mengumumkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Negara yang memfokuskan kepada aspek pengurusan bencana. Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata dana sebanyak RM20 juta turut disediakan dan boleh dipohon oleh institut pengajian tinggi (IPT) melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundemental (FRGS) khusus bagi tujuan penyelidikan pengurusan bencana dan mitigasi banjir. "Adalah diharapkan hasil kajian yang bakal dilaksanakan dapat menyumbang kepada pemantapan pengurusan bencana di negara ini," katanya pada majlis perutusan tahun baharu 2015 Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini. Hadir sama, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P.Kamalanathan serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamed. Muhyiddin berkata kejadian tanah runtuh, jerebu dan banjir yang kerap berlaku di negara ini memerlukan satu pendekatan komprehensif dan berkesan, menjadikan bidang pengurusan bencana semakin penting. Beliau berkata antara perkara yang perlu diteroka oleh ahli-ahli akademik termasuklah aspek pengurusan alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program kesedaran masyarakat, penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat bencana. Katanya, jika pengurusan bencana dapat dibuat dengan baik, banyak nyawa dapat diselamatkan selain mengelakkan kerugian berbilion ringgit akibat kerosakan infrastruktur dan kemusnahan harta benda. Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya universiti tempatan memberi fokus kepada kajian mengenai pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari bagi mengelakkan masa depan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat terjejas akibat sumber alam yang tidak diurus dengan baik. "Sudah sampai masanya untuk menjajarkan semula pendekatan pembangunan negara dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat pada masa hadapan," katanya. Justeru, universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut digalak membuat kajian berimpak tinggi yang memberi fokus kepada pengurusan sumber alam, penghasilan teknologi hijau, penciptaan tenaga boleh dibaharui, seni bina mesra alam dan hidrologi, katanya. Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan penubuhan Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA) di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjalankan kajian khusus bagi menangani isu ketidaksamaan sosial dan ekonomi dalam masyarakat. Beliau berkata institut itu akan memberi penekanan dan fokus kepada isu berkaitan pembangunan dan kemajuan ekonomi yang bersifat inklusif serta mengecilkan jurang pendapatan rakyat. "Saya percaya pertumbuhan ekonomi saja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat. "Dalam konteks ini, jurang pendapatan yang masih wujud di negara kita perlu ditangani dengan berkesan untuk memastikan Malaysia terus kekal stabil dan harmoni," katanya. Untuk itu, timbalan perdana menteri berharap institusi pendidikan di negara ini dapat memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara disertai pembahagian kekayaan yang adil dan saksama.