suria

15,000 Katil Tambahan Di Hospital Diperlukan Seluruh Negara

Gambar Hiasan.

KEMAMAN: Kementerian Kesihatan masih memerlukan 15,000 katil tambahan di hospital bagi menampung keperluan pesakit di seluruh negara khususnya di kawasan berkepadatan penduduk tinggi seperti Lembah Klang.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, berikutan penduduk yang ramai, berlaku kesesakan yang tidak dapat dielakkan di hospital kerajaan yang turut menjejaskan keselesaan pesakit, dan mutu perkhidmatan yang diberi.

"Nisbah ketika ini adalah 1.9 katil untuk 1,000 populasi. Jika kami dapat menyediakan sekurang-kurangnya 15,000 katil, kita akan dapat nisbah 2.5 untuk 1,000 populasi dan itupun dikira sederhana.

"Ini bermakna setiap tahun kami perlu sediakan katil, barulah kita akan capai sasaran itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Kemaman di sini, Isnin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Nor dan Pegawai Kesihatan Daerah Dr Mohd Anuar Abdul Rahman.

Subramaniam berkata, bagaimanapun, kemudahan itu hanya dapat disediakan sepenuhnya dalam tempoh kurang 10 tahun dari sekarang.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah semaksimum mungkin bagi menangani masalah itu memandangkan kos penyediaan katil termasuk segala kelengkapannya adalah tinggi dan ia mengambil masa kerana dibuat secara berperingkat.

Beliau berkata bagi hospital di luar bandar pula setakat ini tidak mempunyai masalah kerana katil untuk pesakit masih mencukupi, hanya kemudahan sahaja yang perlu ditambah.

Mengenai bekalan darah, Subramaniam berkata bekalan di seluruh negara ketika ini masih mencukupi.

"Malaysia bertuah kerana rakyat negara ini ramai yang suka menderma darah.

Ia menunjukkan satu semangat yang bagus kerana banyak kempen dijalankan dan hasilnya cukup memberangsangkan. Kadang-kadang kami menerima 800 hingga 1,000 pek darah pada satu-satu kempen," katanya.

Artikel Lain