Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata kedua-dua suspek berusia 42 tahun dan 50 tahun itu ditahan dalam Ops Khas sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, pada 10.30 pagi, 14 Januari lepas.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang positif dadah itu disyaki menggunakan rumah itu sebagai stor memproses dadah jenis methamphetamine.
"Hasil pemeriksaan juga menemui satu paket besar dan enam paket kecil plastik lut sinar disyaki dadah jenis Syabu seberat 1,000 gram, 12 tiub straw disyaki dadah Heroin dan beberapa peralatan serta cecair dan serbuk kimia yang digunakan untuk memproses dadah methamphetamine," katanya dalam sidang media di sini Isnin.
Terdahulu, Tajudin menyaksikan majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kuala Lumpur baharu yang diambil alih oleh SAC Zainuddin Ahmad menggantikan ACP Abdul Razak Abdul Gahfur yang memangku jawatan itu sebelum ini.
Abdul Razak kembali ke jawatan asalnya iaitu sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Kuala Lumpur manakala ACP Mohd Firdaus Abdullah dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur menggantikan Zainuddin.