KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM300,000 menerusi “Kempen Hantar & Menang PosLaju 3.0”. Kempen bermula 1 Januari sehingga 28 Februari ini terbuka kepada semua pelanggan PosLaju yang membeli produk atau menggunakan perkhidmatan itu. "Kami sentiasa mencari peluang untuk memberikan ganjaran kepada pelanggan-pelanggan sebagai tanda penghargaan di atas sokongan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami. "Dengan identiti korporat baharu yang baru dilancarkan, kami beriltizam untuk menjadikan pelanggan sebagai fokus utama," katanya. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Iskandar Mizal Mahmood. Seramai 185 pelanggan akan dipilih untuk memenangi hadiah bulanan dan hadiah utama dalam tempoh kempen selama dua bulan. Pemenang bagi hadiah pertama bulanan akan memenangi iPhone 6 dan pek sim Altel, pemenang hadiah kedua pula akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM333 setiap seorang (100 pemenang), manakala pemenang tempat ketiga masing-masing akan menerima empat tiket KidZania dan pek sim Altel (70 pemenang). Pada penghujung kempen ini, Pos Malaysia akan mengumumkan 13 pemenang bertuah yang akan menjadi pemilik satu daripada tujuh hadiah utama yang ditawarkan. Pemenang tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM18,888, naib juara pula RM11, 111, manakala pemenang ketiga akan memperoleh RM7,777. Selain itu, tiga pemenang tempat keempat akan menerima wang tunai RM5,555 dan pek sim Altel setiap satu, seorang pemenang tempat kelima akan mendapat pakej percutian tajaan KidZania, hadiah wang tunai sebanyak RM1,111 dan pek sim Altel. Tiga pemenang tempat keenam akan menerima iPhone 6 Plus baharu dan pek sim Altel setiap satu, manakala tiga pemenang tempat ketujuh masing-masing akan membawa pulang Xiaomi Mi4 dan pek sim Altel. Pelanggan secara automatik akan menyertai kempen ini dengan hanya menghantar barangan mereka atau menggunakan perkhidmatan PosLaju dalam tempoh peraduan. Untuk keterangan lanjut serta terma dan syarat “Kempen Hantar & Menang PosLaju 3.0”, sila layari www.poslaju.com.my.