suria

KPN Sahkan Penahanan Sirul Di Queensland

Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan bekas Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar di Queensland oleh polis Australia.

Beliau berkata, Sirul, 43, yang didakwa atas sabitan kes bunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, ditahan pada pagi Selasa.

"Dia sedang ditahan di pusat tahanan Imigresen negara itu.

"Kami akan menghubungi rakan sejawat di Australia untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Terdahulu agensi berita ABC News melaporkan, Sirul, 43, diletakkan dibawah jagaan pegawai Imigresen di Brisbane semalaman selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya.

Notis merah Interpol bermaksud usaha mencari serta menangkap individu yang dikehendaki tersebut akan dilakukan oleh suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan untuk mengekstradisi.

Minggu lalu dilaporkan bahawa polis akan bekerjasama dengan Interpol untuk memburu Sirul, selepas satu permohon ekstradisi akan difailkan kepada negara berkenaan.

Sirul dipercayai pergi ke Australia pada Oktober tahun lalu.

Namun, dia dikatakan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi hukuman itu.

Sirul dan bekas cif inspektor, Azilah Hadri dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh Altantuya pada 2008.


Artikel Lain