suria

Penangguhan PLKN: Operator Kem Temui KP JLKN

PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kem Latihan Khidmat Negara (PPKN) yakin kerajaan tidak akan menganiaya semua pihak yang terbabit berikutan penangguhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun ini.

Sehubungan dengan itu Presidennya, Datuk Seri Ahmad Kamil Ibrahim berkata, pihak persatuan akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Mohmed Asri Yusof untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung pengumuman penangguhan itu.

Bercakap kepada mStar Online, Ahmad Kamil menambah, walaupun keputusan kerajaan untuk menangguhkan semua program Latihan Khidmat Negara adalah drastik tetapi pihaknya percaya kerajaan tidak akan membiarkan operasi semua 80 ahli persatuannya serta 4,000 kakitangan di kem seluruh negara terjejas.

"Kita tetap berdiri teguh di belakang kerajaan dan yakin tidak akan timbul sebarang masalah berikutan keputusan untuk menangguhkan PLKN tahun ini.

"Bagaimanapun, persatuan akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Mohmed Asri Yusof untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung pengumuman penangguhan itu," katanya.

Penangguhan PLKN itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika membentangkan perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Selasa.

Langkah untuk menangguhkan program tersebut dijangka akan menjimatkan dana kerajaan sebanyak RM400 juta.

Oktober tahun lepas semasa membentangkan Bajet 2015, Najib  mengumumkan bahawa PLKN, yang telah melatih lebih 800,000 pelajar sejak diperkenalkan pada 16 Februari 2004, akan dikaji semula, selain memperkenalkan konsep baharu menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan.

Mengulas perkara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penangguhan PLKN tahun ini bagi mentransformasikan semula program itu dan tidak akan menjejaskan pihak berkepentingan termasuk operator kem PLKN, jurulatih dan mereka yang berada dalam jawatan tetap.

Hishammuddin berkata, satu makmal mengenai PLKN akan diadakan bulan depan yang akan melibatkan semua pihak berkepentingan supaya lebih faham hala tuju program itu selepas 10 tahun pelaksanaannya.

Menurut Ahmad Kamil, ketika ini, semua kem PLKN beroperasi seperti biasa dan pelatih yang sedang menjalani latihan dijangka akan tamat bulan depan.



Artikel Berikut

Saya Bukan Pelobi - Zulhazmi

Artikel Lain