PETALING JAYA: Rosli Abdul Rahim, bapa kepada pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad, yang berbesar hati dengan keprihatinan Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap keluarganya berharap bantuan asnaf fakir dan miskin itu dapat ditawarkan semula apabila beliau tidak lagi mampu menyara keluarganya.
Bapa kepada enam cahaya mata itu memohon budi bicara LZS untuk mempertimbangkan semula tawaran itu jika kesihatannya terjejas dan tidak lagi mampu membiaya keperluan keluarganya, terutama dua anak istimewanya itu.
"Jika saya dah jatuh sakit, minta jasa baik pihak zakat untuk pertimbangkan semula tawaran itu. Buat masa ini, saya tidak perlu bantuan itu," katanya kepada mStar Online.
Justeru, beliau juga berharap agar urusan untuk mendapatkan bantuan tersebut pada masa hadapan dapat dipermudahkan memandangkan keluarganya layak menerimanya sebelum ini.
"Saya harap LZS akan permudahkan urusan tersebut jika saya memerlukan bantuan itu pada masa akan datang. Lagipun mereka ada rekod mengenainya," katanya.
Rosli Abdul Rahim.
Rosli menegaskan beliau hanya akan menerima bantuan asnaf gharimin bagi menampung perbelanjaan bulanan membeli lampin pakai buang dan beg najis kedua-dua anak istimewanya itu.
Atas dasar itu, LZS memutuskan untuk mempermudahkan urusan bantuan selama enam bulan untuk Ahmad dan Muhammad sebaik borang permohonan diserahkan kepada pejabat agensi tersebut yang berdekatan.
Sementara itu, mengenai permohonan baharu bantuan asnaf gharimin untuk Ahmad dan Muhammad, Rosli berkata isterinya, Junaidah Awang telah menghantar borang permohonan tersebut ke pejabat LZS cawangan Bandar Puteri Puchong pada Rabu.
"Isteri saya sudah hantar borang permohanan tersebut. Terima kasih kepada LZS kerana mempermudahkan urusan pada kali ini," katanya.