suria

Kemangkatan Raja Abdullah: Kembar Siam Hadiahkan Bacaan Surah Yasin

Pembedahan memisahkan Ahmad dan Muhammad bernilai RM1.7 juta yang dibiaya Raja Abdullah, 13 tahun lalu.

PETALING JAYA: Kemangkatan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz pada awal pagi Jumaat mengejutkan keluarga pasangan kembar, Ahmad dan Muhammad Rosli yang pernah 'dekat' dengan baginda suatu ketika itu.

Raja Abdullah adalah individu yang bertanggungjawab membiayai pembedahan untuk memisahkan adik beradik istimewa itu, 13 tahun lalu.

Menyifatkan pemergiannya suatu kehilangan besar untuk dunia Islam, maka kata bapa pasangan kembar siam itu, Rosli Abdul Rahim, keluarganya akan bersama-sama menghadiahkan bacaan surah Yasin sebagai tanda menghargai jasa baginda, malam nanti.

"Terkejut dan sedih apabila dengar berita kemangkatan baginda. Baginda seorang yang baik hati dan banyak membantu keluarga kami.

"Baginda mangkat pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Semoga  ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan amalan baiknya diterima Allah.

"InsyaAllah... kami sekeluarga akan menghadiahkan bacaan Yasin kepada baginda malam ini. Lagipun Ahmad dan Muhammad masih belum mengetahui tentang perkara ini. Saya rasa mereka turut sedih sebaik sahaja diberitahu mengenainya apabila balik dari sekolah nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Rosli, 44, berkata, pasangan adik-beradik itu kali terakhir bertemu Raja Abdullah pada 2007 apabila mereka dijemput bersama beberapa pasangan kembar siam lain yang berjaya dipisahkan menerusi pembiayaan baginda untuk menghadiri majlis di istananya.

"Kami dijemput untuk hadir ke satu majlis bagi mempertemukan semua pasangan kembar siam yang berjaya dipisahkan pada 2007. Kami dibawa ke istananya... baginda seorang yang baik hati, bersikap rendah diri dan dermawan," katanya.

Jelas Rosli, baginda bukan sahaja membiayai pembedahan pemisahan pasangan kembar siam yang beragama Islam tapi juga agama-agama lain.

"Ahmad dan Muhammad adalah pasangan keempat atau kelima yang dibiayainya. Baginda membiayai pembedahan pasangan kembar lain tanpa mengira bangsa dan agama dari seluruh dunia," katanya.

Rosli bersama arwah isterinya, Asiah Kanda bersama-sama Ahmad dan Muhammad berada di Arab Saudi selama tiga bulan pada 2007.

Katanya, selain memenuhi jemputan ke istana baginda, Raja Abdullah turut mengatur temu janji untuk membuat kaki palsu bagi dua anaknya itu.

Tarikh 17 September 2002 menjadi tarikh keramat apabila pasangan kembar itu yang berusia empat tahun berjaya dipisahkan.

Pembedahan itu dilakukan di King Fahad National Guard Hospital, Riyadh, Arab Saudi.

Ia mengambil masa selama 22 jam 45 minit dengan diketuai oleh Dr. Abdullah Abdulaziz Al-Rabeeah yang sekarang merupakan Menteri Kesihatan negara Arab itu.

Pembedahan pemisahan itu menelan belanja sebanyak RM1.7 juta.

Raja Abdullah dilaporkan mangkat pagi Jumaat pada usia 90 tahun.

Baginda dimasukkan ke hospital pada Disember lalu kerana penderitaan radang paru-paru dan baginda hanya bernafas menggunakan tiub.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain