Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Palanivel berkata beliau prihatin terhadap tindakan Kumaar Aamaan mengadakan mogok lapar di Pendaftar Pertubuhan (ROS) di sini, sejak petang semalam.
"Saya baru bercakap dengan beliau dan saya gembira kerana Kumaar Aamaan telah bersetuju dan akur dengan permintaan saya untuk menamatkan mogok lapar," katanya.
"Saya hormati nasihat beliau demi kebaikan MIC dan mengucapkan terima kasih atas langkah positif yang diambilnya bagi menyelesaikan masalah MIC.
"Tetapi apa yang menyedihkan, saya selaku naib presiden parti, tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya," kata beliau.
Kemelut MIC bermula apabila ROS pada 5 Disember lepas, meminta MIC mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari selepas mendapati wujud salah laku dalam pemilihan pada Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada 30 November 2013.
ROS juga mengarahkan parti mengadakan pemilihan semula bagi beberapa bahagian selain menasihati MIC tidak mengadakan perhimpunan agung tahunan sehingga semua perkara itu selesai.