KUALA LUMPUR: Pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan Mohammad Azlan Mat Lazim meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Serdang Raya dekat sini, Sabtu. Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrushahar Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu yang turut melibatkan seorang lagi atlet lompat jauh paralimpik, Farisan Jasna. Mohammad Azlan, 24, yang juga juara pecut Sukan Para Asia dan Farisan, 25, yang tinggal di asrama MSN, dikatakan menunggang motosikal untuk ke tempat riadah sempena cuti hujung minggu setelah berehat dari sesi latihan. "Saya difahamkan motosikal ditunggangi Mohammad Azlan dan Farisan kemalangan dengan sebuah van. Mohammad Azlan dikatakan meninggal di tempat kejadian manakala Farisan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut. "Mayat Mohammad Azlan juga dibawa ke Hospital Serdang," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu. Azlan menerima ciuman daripada ibu bapanya, Mat Lazin, 50 dan Rohani Abu Bakar, 49, sejurus tiba dari Incheon, Korea Selatan selepas menyertai Sukan Para Asia 2014 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Mohd Safrushahar juga melahirkan rasa sedihnya di atas kehilangan atlet paralimpik itu yang cemerlang dan merupakan ikon harapan negara ke Sukan Paralimpik di Rio 2016. "Ini satu kehilangan besar...apa lagi yang boleh saya katakan. Sasaran utama Azlan sendiri mahu meraih emas di Kejohanan Dunia di Dubai, seterusnya meraih mata untuk melayakkan dirinya ke Sukan Paralimpik di Rio," tambahnya. Beliau berkata motosikal yang dinaiki Mohammad Azlan dan Farisan dibeli daripada insentif kewangan hasil kemenangannya di Incheon. Pada temasya Para Asia di Incheon Oktober tahun lepas, Mohammad Azlan, dari Kemaman, Terengganu menampilkan aksi cemerlang dengan membawa pulang tiga emas menerusi acara 100 meter, 200m dan 400m lelaki dalam kategori kecacatan T38 dan T36. Farisan, dari Sarawak, merupakan atlet lompat jauh kategori kecacatan T37 yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2013 Nay Pyi Taw, Myanmar.