KUALA LUMPUR: Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi Asean dijangka mampu menyemarakkan perkembangan rantaian ekonomi negara pada tahun ini. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata komitmen serta hubungan baik Malaysia dengan negara Asean lain dilihat faktor penting membuka mata banyak pihak mengenai keupayaan kepemimpinan serta kepelbagaian produk menarik di negara ini. "Sebagai Pengerusi Asean, kita dapat memberi tumpuan kepada pedagang Asean, badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat negara anggotanya. Ini peluang bagus untuk Malaysia memastikan produk kita turut dijual kepada 600 juta masyarakat Asean yang lebih besar," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu undangan program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, Jumaat malam. Program secara langsung dihoskan oleh Sherkawi Jirim, membincangkan topik bertajuk 'Melindungi Ekonomi Negara.' Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN mulai 1 Jan lepas daripada Myanmar. Sidang kemuncak Asean ke-26 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 April depan. Satu sesi permukiman para Menteri Luar Asean akan diadakan di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, pada Selasa dan Rabu ini. Ia merupakan pembuka tirai bagi siri mesyuarat peringkat menteri dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan. Mengenai usaha bantuan banjir, Ahmad berkata kerajaan setakat ini telah memperuntukkan kira-kira RM3 bilion kepada agensi terbabit bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri terjejas. Ia termasuk RM700 juta kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), RM800 juta untuk membaiki prasarana, RM893 juta untuk membina tebatan banjir dan empangan selain peruntukan tambahan RM20 juta, katanya.